WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata beliau mahu menangguhkan lawatan rasminya ke China “sebulan atau lebih” susulan perang yang sedang berlangsung antara AS-Israel dan Iran.
Lawatan itu pada asalnya dijadualkan berlangsung pada penghujung Mac, di mana Trump dijangka bertemu Presiden China, Xi Jinping, di Beijing.
Advertisement
Namun ketika ditanya sama ada kunjungan tersebut masih diteruskan, Trump menjelaskan bahawa situasi semasa memerlukan beliau berada di Washington.
“Saya mahu pergi, tetapi disebabkan perang, saya perlu berada di sini,” katanya.
“Kami telah meminta supaya ia ditangguh sekitar sebulan.”
Trump menegaskan bahawa perang di Asia Barat, termasuk serangan berterusan terhadap Iran dan usaha membuka semula Selat Hormuz, memerlukan koordinasi rapat dari Washington.
Beliau menyatakan rasa bertanggungjawab untuk kekal di AS bagi memantau operasi ketenteraan dan keselamatan negara.
Menurut sumber pentadbiran AS, sebarang penjadualan semula tidak berkaitan tekanan terhadap Beijing, sebaliknya lebih kepada logistik dan keperluan Trump mengurus perang.
Dalam wawancara dengan Financial Times sebelum ini, Trump berkata beliau ingin melihat China membantu dalam usaha membuka kembali Selat Hormuz, laluan minyak global yang kini terjejas akibat tindakan Iran.
Beliau menegaskan China mempunyai kepentingan besar kerana sebahagian besar import minyaknya melalui laluan tersebut.
Trump turut menyatakan bahawa beliau ingin mendapat kepastian sama ada Beijing bersedia terlibat dalam usaha itu sebelum meneruskan lawatan.
“Kita akan tahu nanti. Mereka mungkin bersetuju, atau mungkin tidak,” katanya.
Penangguhan itu dijangka memberi kesan kepada hubungan perdagangan yang sudah tegang antara kedua-dua negara, terutama ketika rundingan tarif baru sahaja menunjukkan perkembangan positif.
Namun jurucakap Kementerian Luar China menyatakan Beijing dan Washington masih mengekalkan komunikasi mengenai kunjungan tersebut.