Skip to main content

Malaysia

Khaled Nordin minta hentikan kecaman terhadap pelajar susulan video tular

KOTA TINGGI, 28 Mac -- Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bercakap kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Perasmian Projek JanaVeteran Boustead Plantations Berhad, Halia KayTi (Kota Tinggi) di Ladang Telok Sengat hari ini._BERNAMA
Mohamed Khaled (foto) menegaskan semua pihak perlu lebih berhemah dalam memberi reaksi khususnya apabila melibatkan pelajar, bagi mengelakkan kesan negatif terhadap emosi dan kesejahteraan mereka. -Gambar fail/Bernama

JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Kota Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meminta orang ramai agar menghentikan sebarang bentuk kecaman dan spekulasi terhadap seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), susulan penularan rakaman video di media sosial baru-baru ini.

Beliau berkata rakaman tersebut memaparkan sesi interaksi santai antaranya dan para pelajar dalam Majlis Menyantuni Bakal Jemaah Haji 2026 serta Majlis Inspirasi Cemerlang SPM 2025 peringkat Parlimen Kota Tinggi, Dewan Undangan Negeri Sedili.

Advertisement

Katanya, interaksi tersebut telah disalah tafsir oleh sesetengah pihak sehingga mencetuskan pelbagai reaksi negatif termasuk kecaman terhadap pelajar terbabit.

“Sehubungan itu, adalah ditegaskan bahawa tiada sebarang isu berbangkit dalam interaksi tersebut.

"Tindak balas pelajar itu wajar dilihat sebagai reaksi spontan yang mungkin dipengaruhi perasaan gemuruh apabila berhadapan dengan Ahli Parlimen serta di khalayak ramai,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan semua pihak perlu lebih berhemah dalam memberi reaksi khususnya apabila melibatkan pelajar, bagi mengelakkan kesan negatif terhadap emosi dan kesejahteraan mereka.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan berkata kejayaan pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang SPM itu seharusnya diraikan.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan komitmen berterusan semua pihak dalam menyokong pembangunan sahsiah serta kecemerlangan generasi muda.

“Setiap program yang melibatkan pelajar perlu diraikan dalam suasana positif dan membina,” katanya.

Sebelum ini tular rakaman video memaparkan interaksi antara Mohamed Khaled dan pelajar cemerlang berkenaan di platform Threads yang menerima kecaman oleh segelintir pihak.

Menerusi video itu, pelajar perempuan terbabit dilihat hanya menjawab “mahu jadi orang” sambil ketawa ketika ditanya berhubung cita-citanya apabila menjadi dewasa kelak, sekali gus mengundang pelbagai reaksi netizen yang menyifatkan jawapan tersebut sebagai tidak sopan.

--BERNAMA

 

Must Watch Video