Trump: Tiada siapa akan dipaksa keluar dari Gaza

Trump berkata, perjanjian gencatan senjata Gaza itu telah "dimuktamadkan dan selesai sepenuhnya" dan beliau merancang untuk melakukan lawatan ke Asia Barat hujung minggu ini. - Gambar fail Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Khamis berkata, tiada sesiapa akan dipaksa keluar dari Gaza di bawah pelan gencatan senjatanya, sambil menambah bahawa perjanjian itu "telah dimuktamadkan dan selesai sepenuhnya", lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Tiada sesiapa akan dipaksa keluar. Malah sebaliknya... tidak, kami langsung tidak berhasrat untuk berbuat demikian," kata Trump ketika ditanya oleh seorang wartawan sama ada rakyat Palestin akan dipaksa meninggalkan Gaza di bawah pelan gencatan senjata yang dicadangkan AS.
Trump berkata, perjanjian gencatan senjata Gaza itu telah "dimuktamadkan dan selesai sepenuhnya" dan beliau merancang untuk melakukan lawatan ke Asia Barat hujung minggu ini.
"Saya fikir ini akan menjadi sesuatu yang hebat. Saya percaya semua tawanan akan dibawa pulang pada Isnin atau Selasa. Saya mungkin berada di sana. Saya berharap untuk berada di sana. Kami merancang untuk berlepas pada Ahad dan saya amat menantikannya," katanya kepada pemberita di Pejabat Oval.Trump pada Rabu mengumumkan bahawa Israel dan Hamas telah bersetuju dengan fasa pertama pelan gencatan senjatanya untuk Gaza.
Pada 29 Sept, beliau mengumumkan pelan gencatan senjata 20 perkara untuk Gaza yang merangkumi pembebasan semua tawanan Israel sebagai pertukaran dengan kira-kira 2,000 tahanan Palestin, gencatan senjata kekal, dan pengunduran tentera Israel secara berperingkat dari seluruh wilayah itu.
Fasa kedua pelan itu menggesa penubuhan sebuah mekanisme pentadbiran baharu di Gaza tanpa penglibatan Hamas, pembentukan pasukan keselamatan yang terdiri daripada rakyat Palestin dan tentera dari negara-negara Arab dan Islam, serta pelucutan senjata Hamas.
Ia juga menetapkan pembiayaan oleh negara Arab dan Islam untuk pentadbiran baharu itu dan pembinaan semula wilayah berkenaan, dengan penglibatan terhad oleh Pihak Berkuasa Palestin.
Negara-negara Arab dan Islam telah menyambut baik pelan itu, namun beberapa pegawai berkata masih banyak butiran di dalamnya memerlukan perbincangan dan rundingan untuk dilaksanakan sepenuhnya.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami