Trump tiba di Korea Selatan, yakin pertemuan dengan Xi Jinping bakal beri impak positif global

Presiden Trump memeriksa kawalan kehormat sebaik turun dari pesawat Air Force One di Lapangan Terbang Antarabangsa Gimhae di Busan, Korea Selatan, pada Rabu. - Gambar Reuters
GYEONGJU: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tiba di Korea Selatan pada Rabu bagi melengkapkan siri lawatan ke Asia, dengan keyakinan tinggi terhadap kemungkinan mencapai gencatan perang perdagangan bersama Presiden China, Xi Jinping.
Trump dijadual bertemu Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung di Gyeongju, sebuah bandar bersejarah yang kini menjadi tuan rumah Forum APEC.
Ketibaan beliau dari Tokyo berlaku hanya beberapa jam selepas Korea Utara melancarkan ujian peluru berpandu jelajah berkeupayaan nuklear.
Dalam kenyataan kepada media di atas pesawat Air Force One, Trump menolak kebimbangan terhadap ujian peluru berpandu Korea Utara dan menegaskan fokus utama beliau adalah pertemuan dengan Xi Jinping.
“Hubungan dengan China sangat baik. Saya percaya kita akan capai hasil yang positif, bukan sahaja untuk Amerika Syarikat tetapi juga untuk dunia,” katanya.
Trump turut menyatakan harapan untuk mengurangkan tarif terhadap barangan China sebagai pertukaran kepada komitmen Beijing membendung eksport bahan kimia prekursor fentanyl.
Setibanya di Busan, Trump disambut dengan karpet merah dan iringan muzik lagu YMCA oleh Village People - lagu kegemarannya yang sering dimainkan di acara politik.
Beliau kemudian menaiki helikopter menuju ke Gyeongju.
Perbincangan perdagangan AS-Korea Selatan masih buntu
Walaupun pertemuan dengan Lee dijangka membincangkan isu perdagangan, pelaburan dan keamanan di Semenanjung Korea, kedua-dua pihak bagaimanapun, tidak menjangkakan sebarang pencapaian besar dalam rundingan.
Pada Julai lalu, Korea Selatan bersetuju melabur AS$350 bilion ke Amerika Syarikat bagi mengelak dikenakan tarif tinggi, namun struktur pelaburan tersebut masih belum dimuktamadkan.
Trump juga terus mendesak sekutu seperti Korea Selatan untuk meningkatkan bayaran bagi kos pertahanan, manakala Seoul pula meminta reformasi dasar imigresen AS bagi membolehkan lebih ramai pekerja Korea membina kilang di sana, susulan serbuan ke atas kilang bateri Hyundai Motor di Georgia.
Isu Taiwan dan APEC
Trump dijangka tidak menghadiri sidang kemuncak pemimpin APEC pada Jumaat dan Sabtu, sebaliknya, memilih untuk mengadakan pertemuan dua hala dan menyampaikan ucapan di Sidang Kemuncak CEO APEC.
“Trump kurang gemar perhimpunan antarabangsa berskala besar dan lebih selesa dengan pertemuan satu lawan satu bersama pemimpin utama,” kata Christopher Padilla, penasihat kanan di Brunswick Group, Washington.
Pertemuan Trump-Xi pada Khamis menjadi tumpuan utama minggu diplomatik ini, dengan pasaran global menunjukkan reaksi positif selepas kedua-dua negara mencapai rangka kerja awal untuk menangguhkan tarif tambahan dan kawalan eksport nadir bumi.
Menteri Luar Taiwan, Lin Chia-lung menyatakan keyakinan bahawa Trump tidak akan mengabaikan Taiwan dalam pertemuan dengan Xi, walaupun Presiden AS itu masih belum meluluskan sebarang penjualan senjata baharu kepada Taipei.
Trump sendiri mengakui belum pasti sama ada isu Taiwan akan dibincangkan dalam pertemuan tersebut.
Destinasi terakhir lawatan Asia
Gyeongju menjadi persinggahan terakhir Trump dalam lawatan ke Asia yang turut merangkumi Malaysia dan Jepun - dua negara yang terkesan dengan dasar tarif AS.
Di Malaysia, Trump menyaksikan pemeteraian beberapa perjanjian perdagangan semasa sidang ASEAN, manakala di Tokyo, beliau memuji Perdana Menteri wanita pertama Jepun, Sanae Takaichi atas komitmen memperkukuh ketenteraan dan pelaburan strategik bernilai AS$550 bilion ke AS.
Washington kini mendesak Korea Selatan untuk membuat komitmen serupa, namun Seoul menyatakan tidak mampu membayar jumlah tersebut secara sekali gus dan menawarkan pelaburan berfasa serta pinjaman sebagai alternatif.
Menteri Luar Korea Selatan, Cho Hyun berkata, konsesi saat akhir daripada AS mungkin membuka jalan kepada perjanjian. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


