DUNIA
Trump tidak puas hati dengan Putin, pertimbang sekatan ke atas Rusia

Tapak serangan dron Rusia di Zaporizhzhia, Ukraine yang dirakamkan pada Isnin lalu (7 Julai). - Gambar Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Presiden Rusia, Vladimir Putin, berhubung perang yang masih berlarutan di Ukraine, sambil mempertimbangkan sekatan baharu terhadap Moscow.
“Kita sering menerima pelbagai helah daripada Putin. Dia sentiasa nampak mesra, tetapi semuanya tidak bermakna,” katanya dalam mesyuarat Kabinet di White House, di sini, pada Selasa.
Dalam masa sama, Trump turut mendakwa Putin bertanggungjawab membunuh ramai orang termasuk tentera Rusia sendiri dan anggota tentera Ukraine.
Ditanya sama ada beliau menyokong rang undang-undang yang dicadangkan oleh Senat untuk mengenakan sekatan tambahan terhadap Rusia, Trump menjawab: “Saya sedang menelitinya dengan serius.”Namun begitu, beliau enggan mengulas lanjut mengenai rancangan tindakan terhadap Rusia, dan berkata:
“Saya takkan dedahkan sekarang… kita perlukan sedikit elemen kejutan, bukan?”
Trump kemudian mengalihkan perbualan kepada perancangan jangka panjang Amerika dalam serangan ke atas fasiliti nuklear Iran bulan lalu.
Macron tegaskan sokongan Eropah kepada Ukraine
Dalam perkembangan sama, dalam ucapan di Parlimen Britain, Presiden Perancis, Emmanuel Macron menegaskan, Eropah tidak akan meninggalkan Ukraine dan akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan dalam “pakatan yang bersedia” untuk memberi sokongan penuh.
“Kami akan berjuang hingga ke saat terakhir bagi memastikan gencatan senjata dapat dicapai, dan rundingan bagi membina keamanan berkekalan dapat dimulakan,” kata Macron.
Beliau turut menyatakan bahawa keselamatan dan prinsip bersama Eropah sedang dipertaruhkan dalam konflik ini.
AS bakal salur lebih banyak senjata ke Ukraine
Dalam masa sama, Trump memaklumkan, pentadbirannya akan menghantar lebih banyak senjata pertahanan ke Ukraine, walaupun laporan media tempatan menyebut bahawa penghantaran beberapa jenis peluru dan peluru berpandu sebelum ini terpaksa ditangguhkan ekoran kekurangan stok senjata di AS.
Jabatan Pertahanan Amerika kini sedang menjalankan kajian semula keupayaan aset ketenteraan bagi menilai semula keutamaan penyaluran bantuan ketenteraan luar.
Walaupun sebelum ini Trump berjanji akan menamatkan perang Ukraine dengan segera, beberapa usaha diplomatik termasuk panggilan telefon dengan Putin masih gagal mencapai hasil yang ketara.
Pada Mei lalu, pegawai Ukraine dan Rusia mengadakan rundingan langsung di Turkiye dan bersetuju dengan pertukaran tawanan.
Namun, usaha ke arah gencatan senjata sementara mahupun kekal masih menemui jalan buntu.
Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata, Moscow kini menunggu cadangan tarikh baharu daripada Ukraine untuk rundingan lanjut.
Katanya, pihaknya sedia mengumumkan sebarang perkembangan sekiranya persetujuan dicapai.
Dalam pada itu, Rusia terus melancarkan serangan jarak jauh ke atas beberapa bandar utama Ukraine dan berjaya meraih kemajuan secara berperingkat di beberapa sektor barisan hadapan.
Pada Isnin, Moscow mengumumkan ia telah menguasai kampung Dachne di wilayah Dnipropetrovsk. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami