Trump tidak tolak bertanding jawatan Presiden AS bagi penggal ketiga

Trump tidak menolak kemungkinan untuk bertanding semula jawatan Presiden bagi penggal ketiga, meskipun Perlembagaan Amerika Syarikat melarang perkara tersebut. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tidak menolak kemungkinan untuk bertanding semula jawatan Presiden bagi penggal ketiga, meskipun Perlembagaan negara itu melarang perkara tersebut.
Dalam satu kenyataan kepada media semasa lawatannya ke Asia, Trump berkata, beliau “suka” dengan idea untuk kembali ke White House, namun menolak cadangan untuk bertanding sebagai Naib Presiden pada 2028 - satu idea yang dikemukakan oleh penyokongnya sebagai jalan alternatif untuk mengelak larangan Perlembagaan.
“Saya rasa orang ramai tidak akan suka. Ia terlalu licik. Ia tidak betul,” katanya kepada wartawan semasa dalam penerbangan dari Malaysia ke Jepun.
Trump turut menyatakan beliau mempunyai sokongan yang tinggi berdasarkan tinjauan semasa, namun belum membuat keputusan muktamad.
“Saya belum benar-benar fikirkan. Tapi saya ada angka sokongan terbaik yang pernah saya dapat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyebut nama Naib Presiden AS, JD Vance dan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio sebagai antara tokoh yang berpotensi menggantikannya, menyifatkan mereka sebagai “tidak dapat ditandingi.”
Perlembagaan Amerika Syarikat melalui Pindaan ke-22 melarang mana-mana individu daripada memegang jawatan Presiden lebih daripada dua penggal.
Untuk memansuhkan pindaan itu, ia memerlukan sokongan dua pertiga daripada kedua-dua Dewan Perwakilan dan Senat, atau konvensyen perlembagaan oleh dua pertiga badan perundangan negeri – satu proses yang dilihat amat sukar.
Minggu lalu, bekas penasihat Trump, Steve Bannon mendakwa, terdapat “pelan” untuk memastikan Trump kembali sebagai Presiden pada tahun 2028.
“Trump akan jadi Presiden pada 2028 dan orang ramai perlu mula terima kenyataan itu,” kata Bannon kepada The Economist.
Sebelum ini, dalam satu temu bual bersama CNBC pada Mac lalu, Trump menyatakan beliau “mungkin tidak” akan bertanding semula, namun kemudian berkata, beliau “tidak bergurau” mengenai kemungkinan itu.
Setakat ini, belum jelas siapa calon Demokrat yang akan bertanding pada pilihan raya Presiden 2028, namun beberapa nama telah menyatakan minat termasuk Gabenor California, Gavin Newsom dan bekas Naib Presiden, Kamala Harris. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


