DUNIA
Trump umum larangan pakai pelitup muka ketika protes susulan rusuhan di Los Angeles

"Apa yang ingin disembunyikan oleh mereka, dan kenapa?" kata Trump menerusi laman Truth Social. - Reuters
MOSCOW: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) akan mengharamkan pemakaian pelitup muka ketika menyertai protes susulan rusuhan yang berlaku di Los Angeles, kata Presiden AS Donald Trump pada Ahad, lapor RIA Novosti.
Pada Jumaat, serbuan oleh Jabatan Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam (ICE) di pusat bandar Los Angeles bagi mengesan pendatang tanpa dokumen telah mencetuskan pertempuran dengan para penunjuk perasaan. Setiausaha Akhbar Rumah Putih Karoline Leavitt memaklumkan bahawa 2,000 anggota Pengawal Kebangsaan akan dikerahkan ke Los Angeles susulan protes tersebut.
"Bermula sekarang, PELITUP MUKA TIDAK DIBENARKAN dipakai semasa protes. Apa yang ingin disembunyikan oleh mereka, dan kenapa?" kata Trump menerusi laman Truth Social.
Presiden AS itu turut merakamkan penghargaan kepada Pengawal Kebangsaan atas tindakan mereka semasa rusuhan di Los Angeles."Syabas kepada Pengawal Kebangsaan di Los Angeles selepas dua hari insiden keganasan, pertempuran dan kekacauan... Protes Radikal Kiri oleh penghasut dan pencetus huru-hara yang sering dibayar ini TIDAK AKAN DITOLERANSI... Sekali lagi terima kasih kepada Pengawal Kebangsaan atas tugas yang cemerlang," katanya.
California secara tradisinya dianggap sebagai kubu kuat Parti Demokrat dan sering menjadi sasaran kritikan Trump. Bulan lalu, beliau mengugut untuk memotong dana persekutuan negeri itu berikutan penyertaan seorang atlet transgender dalam pertandingan.
Pentadbiran Trump sebelum ini telah membatalkan projek pencegahan banjir bernilai US$126.4 juta dan mengkritik cara California mengurus kebakaran hutan.
Pada Sabtu, Gabenor California Gavin Newsom memberi amaran bahawa negeri itu mungkin mempertimbangkan untuk tidak membayar cukai persekutuan sekiranya kerajaan Trump meneruskan rancangan pemotongan besar-besaran dana kepada negeri berkenaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami