Trump umum perjanjian perdagangan dengan China termasuk kemungkinan pembelian tenaga

Kedua-dua pemimpin itu mengadakan mesyuarat di sela-sela Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) di Busan, Korea Selatan. - AP
GYEONGJU (Korea Selatan): Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan butiran mengenai perjanjian perdagangan dengan China lebih dari empat jam selepas mesyuarat peringkat tertinggi dengan Presiden China Xi Jinping.
Kedua-dua pemimpin itu mengadakan mesyuarat di sela-sela Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) di Busan, Korea Selatan.
Menyifatkannya sebagai mesyuarat yang hebat dengan Xi, Trump berkata China telah bersetuju untuk memulakan proses pembelian tenaga dari Amerika, dengan kemungkinan pembelian minyak dan gas dalam kuantiti yang sangat besar dari Alaska.
"(Setiausaha Tenaga AS) Chris Wright, (Setiausaha Dalam Negeri AS) Doug Burgum dan pasukan tenaga masing-masing akan bermesyuarat untuk melihat sama ada perjanjian tenaga seperti itu dapat dimuktamadkan," umum Presiden AS itu di akaun Truth Social beliau pada Khamis.
Selain itu, Trump juga berkata Xi telah memberi kebenaran kepada China untuk memulakan pembelian dalam jumlah yang besar untuk kacang soya, sorgum dan produk pertanian lain.
"Petani kita pasti akan sangat gembira! Malah, seperti yang saya pernah katakan sebelum ini ketika pentadbiran pertama saya, para petani harus segera keluar dan membeli lebih banyak tanah serta traktor yang lebih besar. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden Xi atas perkara ini!
"Selain itu, China telah bersetuju untuk meneruskan bekalan nadir bumi, mineral kritikal, magnet dan lain-lain secara terbuka dan bebas. Lebih penting lagi, China dengan tegas menyatakan bahawa mereka akan bekerjasama bersungguh-sungguh dengan kami untuk menghentikan pengaliran fentanyl ke negara kami. Mereka akan membantu kami menamatkan krisis fentanyl," kata Trump yang mengakhiri lawatannya ke Asia hari ini.
Beliau menegaskan persetujuan yang dicapai hari ini antara kedua-dua negara itu akan membawa kepada kemakmuran dan keselamatan untuk berjuta-juta rakyat Amerika.
"Terdapat rasa saling menghormati yang sangat besar antara kedua-dua negara kita dan ini akan diperkukuhkan lagi dengan apa yang baru sahaja berlaku. Kami mencapai persetujuan dalam banyak perkara, manakala isu-isu lain yang juga sangat penting, hampir diselesaikan," tambah beliau.
Dalam perkembangan lain, Trump turut mengucapkan terima kasih kepada Malaysia, Jepun dan Korea Selatan kerana menjadi tuan rumah untuk lawatan beliau ke Asia.
"Selepas lawatan bersejarah ke Asia ini, saya kini dalam perjalanan pulang ke Washington. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada negara-negara hebat iaitu Malaysia, Jepun dan Korea Selatan kerana begitu bermurah hati, bersopan santun dan layanan yang sangat baik.
"Begitu juga dengan Australia, Kanada, New Zealand, Singapura, Thailand dan Vietnam yang turut hadir pada majlis makan malam malam tadi yang dihoskan oleh Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


