Skip to main content

Malaysia

Johor peruntuk RM31.06 juta bagi 77 projek pembangunan di Johor Bahru

FB Mohd Jafni Md Shukor
Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan RM31.06 juta bagi melaksanakan 77 projek pembangunan meliputi kerja membaik pulih, menaik taraf infrastruktur dan kemudahan awam di daerah ini, tahun ini. - Foto Facebook Mohd Jafni Md Shukor

JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan RM31.06 juta bagi melaksanakan 77 projek pembangunan meliputi kerja membaik pulih, menaik taraf infrastruktur dan kemudahan awam di daerah ini, tahun ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata sebanyak 10 projek telah dikenal pasti untuk kelulusan segera dengan keutamaan diberikan kepada tiga aspek utama, iaitu bencana, sosial dan keselamatan.

Advertisement

“Dalam Mesyuarat Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Johor Bahru hari ini, sebanyak 288 perkara telah dibincangkan dan daripada jumlah itu, sebanyak 79 isu berjaya diselesaikan manakala 92 lagi isu sedang dalam pelaksanaan," katanya menerusi hantaran Facebook selepas mewakili Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi ke mesyuarat berkenaan di sini hari ini.

MTD berkenaan meliputi DUN Larkin, DUN Stulang, DUN Kempas, DUN Perling, DUN Kota Iskandar, DUN Skudai, DUN Permas, DUN Johor Jaya, DUN Tiram dan DUN Puteri Wangsa.

Beliau berkata setiap projek yang dirancang bukan sekadar pembangunan fizikal tetapi memanfaatkan rakyat, daripada sistem perparitan bagi mengurangkan risiko banjir, menaik taraf jalan raya dan kemudahan awam, sehinggalah kepada penambahbaikan fasiliti komuniti serta pendidikan.

Mohd Jafni berkata Onn Hafiz turut mengarahkan agar semua agensi berkaitan mengambil tindakan segera bagi mempercepat proses kelulusan dan pelaksanaan projek. 

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video