INTERNATIONAL
Trump umum 'perubahan menyeluruh' selepas rundingan AS-China di Switzerland

Trump mendakwa perubahan menyeluruh dalam hubungan AS-China telah dicapai dan kemajuan besar dibuat. -Gambar fail
ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada lewat Sabtu mengumumkan pasukannya mengadakan "pertemuan yang sangat baik" mengenai perdagangan dengan pegawai China di Switzerland, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Ringkasan AI
- Donald Trump mengumumkan pertemuan perdagangan yang sangat baik dengan pegawai China di Switzerland.
- Trump mendakwa perubahan menyeluruh dalam hubungan AS-China telah dicapai dan kemajuan besar dibuat.
- Rundingan perdagangan di Geneva dijadual bersambung semula pada Ahad.
"Kami mahu melihat, demi kebaikan China dan Amerika Syarikat, pembukaan pasaran China kepada perniagaan Amerika. KEMAJUAN BESAR TELAH DICAPAI!!!," tulis Trump di platform Truth Social.
Hari pertama rundingan perdagangan di Geneva itu berakhir dengan perbincangan dijadual bersambung semula pada Ahad, menurut Anadolu yang memetik laporan Wall Street Journal.
Mesyuarat bermula pada 10 pagi waktu tempatan dan disusuli rehat tengah hari sebelum berakhir sekitar 8 malam, berlangsung sekurang-kurangnya lapan jam, menurut akhbar itu.
Tiada kenyataan dikeluarkan selepas mesyuarat, dan butiran mengenai kandungan atau nada perbincangan tidak didedahkan.
Delegasi Amerika Syarikat diketuai Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent dan Wakil Perdagangan Jamieson Greer, manakala delegasi China diketuai Naib Perdana Menteri He Lifeng.
Rundingan itu diadakan di tengah-tengah usaha meredakan ketegangan perdagangan selepas peningkatan mendadak awal tahun ini apabila Amerika Syarikat mengenakan tarif sehingga 145 peratus ke atas import dari China.
Sebagai tindak balas, Beijing mengenakan tarif timbal balik sehingga 125 peratus terhadap produk tertentu dari Amerika Syarikat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami