Trump umum rancangan jual jet pejuang F-35 kepada Arab Saudi

Menurut Trump (gambar kecil), Washington sedia menjual jet pejuang F-35 kepada Riyadh kerana Arab Saudi merupakan sekutu Amerika Syarikat yang hebat.
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan rancangan untuk meluluskan penjualan jet pejuang F-35 kepada Arab Saudi, sekali gus menandakan perubahan besar dalam dasar Washington berhubung pemindahan senjata canggih ke negara Arab.
Pengumuman itu dibuat pada Isnin di White House, sehari sebelum Putera Mahkota Mohammed bin Salman dijadualkan bertemu Trump.
“Kami akan menjual F-35,” kata Trump kepada media sambil memuji hubungan erat Washington-Riyadh.
“Ya, saya merancang untuk melakukannya. Mereka mahu beli. Mereka sekutu yang hebat,” tambahnya.
Langkah ini dilihat sebagai kemenangan besar buat Riyadh ketika Trump berusaha meyakinkan Arab Saudi untuk menjalin hubungan rasmi dengan Israel di bawah Perjanjian Abraham.
Isu keselamatan Israel
Bagaimanapun, keputusan itu mencetuskan kebimbangan mengenai usaha mengekalkan kelebihan ketenteraan Israel, yang termaktub dalam undang-undang AS.
Beberapa pegawai Israel sudah menyuarakan bantahan terhadap rancangan penjualan F-35 kepada Arab Saudi.
Prinsip mengekalkan kelebihan ketenteraan Israel mula diperkenalkan pada era Lyndon Johnson pada 1968 dan diperkuatkan oleh Ronald Reagan.
Ia menjadi dasar utama penjualan senjata AS di Asia Barat selama lebih empat dekad.
F-35 yang dihasilkan Lockheed Martin dianggap jet pejuang paling canggih di dunia dengan teknologi sukar dikesan radar musuh.
Pengkritik di Israel bimbang langkah ini boleh mencetuskan perlumbaan senjata di rantau itu.
Bekas Timbalan Ketua Tentera Israel, Yair Golan, memberi amaran kelebihan ketenteraan Israel “sedang dipertaruhkan”, manakala Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir menegaskan Israel mesti mengekalkan keunggulan udara di Asia Barat.
Strategi Washington dan lawatan Putera Mahkota
Pengumuman Trump dibuat ketika pentadbiran AS berusaha memperkukuh hubungan dengan Riyadh sebagai sebahagian strategi lebih luas di Asia Barat.
Secara tradisi, Washington mengimbangi kebimbangan Israel dengan menjual versi senjata yang diubah suai kepada negara Arab atau memberi kelebihan tambahan kepada Israel.
Lawatan Putera Mohammed ke White House berlaku ketika gencatan senjata di Gaza terus goyah dengan pelanggaran hampir setiap hari oleh Israel.
Menurut laporan media Arab Saudi, Putera Mahkota turut menerima surat tulisan tangan daripada Presiden Iran, Masoud Pezeshkian sebelum berangkat ke Washington.
Jika penjualan ini direalisasikan, Arab Saudi akan menjadi negara Arab pertama menyertai program F-35.
Sebelum ini, Trump meluluskan penjualan F-35 kepada Emiriah Arab Bersatu pada 2020 selepas Abu Dhabi bersetuju menjalin hubungan rasmi dengan Israel, namun perjanjian itu dibatalkan selepas Joe Biden mengambil alih jawatan Presiden.
Kongres AS masih mempunyai kuasa untuk menolak penjualan senjata yang diluluskan Presiden dan Setiausaha Negara. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


