INTERNATIONAL

Trump yakin perang Gaza akan tamat tidak lama lagi

Astro Awani 08/04/2025 | 00:50 MYT
Trump berkata pelbagai usaha sedang dijalankan untuk membebaskan tebusan yang masih ditahan oleh Hamas. - Foto fail/REUTERS
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menyatakan hasratnya untuk melihat perang di Gaza ditamatkan segera dan menyuarakan keyakinan bahawa konflik tersebut tidak akan berpanjangan.
Trump menegaskan beliau ingin melihat perang dihentikan secepat mungkin, sambil menyatakan keyakinan bahawa konflik itu akan berakhir dalam tempoh yang tidak terlalu lama dan proses ke arah itu sedang berlangsung.
Beliau turut menyatakan pelbagai usaha sedang dijalankan untuk membebaskan tebusan yang masih ditahan oleh Hamas.
Namun beliau mengakui bahawa proses tersebut rumit dan memerlukan masa yang panjang untuk diselesaikan sepenuhnya.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pula menyatakan Israel sedang berusaha untuk mencapai satu lagi perjanjian pembebasan tebusan dan beliau berharap rundingan tersebut akan membuahkan hasil yang positif dalam masa terdekat.
Netanyahu juga menegaskan komitmen Israel untuk membebaskan semua tebusan yang masih ditahan.
Beliau turut memberitahu perbincangannya dengan Trump menyentuh tentang visi Ppresiden AS itu terhadap masa depan Gaza, termasuk cadangan agar AS mengambil alih kawalan ke atas wilayah tersebut.
Trump sekali lagi mencadangkan bahawa kekuatan keamanan seperti AS patut mengawal dan memiliki Semenanjung Gaza, dan menyatakan keyakinan bahawa pendekatan ini akan membawa kestabilan kepada wilayah itu.
#Gaza #Israel #Donald Trump #Benjamin Netanyahu