SETIAUSAHA Luar United Kingdom (UK), Liz Truss berjanji jika dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau tidak akan menerima sebarang perubahan kepada protokol Ireland Utara yang dirunding semula.

Britain dan Kesatuan Eropah (EU) ketika ini sedang bertelagah mengenai peraturan perdagangan untuk Ireland Utara, dikenali sebagai Protokol Ireland Utara, yang telah dipersetujui di bawah perjanjian Brexit pada 2020.

Kerajaan UK sedang mencari kaedah meluluskan rang undang-undang yang akan digubal semula, di mana kini ia membebankan perniagaan dan menjejaskan keamanan di Ireland Utara.

Jika diluluskan, undang-undang itu akan mengalih keluar semakan ke atas barangan yang masuk ke Ireland Utara dari seluruh UK.

Sekali gus tindakan itu akan membatalkan sebahagian daripada perjanjian perdagangan yang ditandatangani sebelum Britain memutuskan untuk keluar EU.

Beberapa pengkritik rang undang-undang itu, termasuk bekas Perdana Menteri Britain Theresa May, berkata langkah tersebut menyalahi undang-undang.

Menurutnya, jika diteruskan, ia akan merosakkan reputasi antarabangsa Britain sebagai negara yang menepati janji.

Truss ditanya sama ada beliau akan berkompromi jika EU kembali dengan cadangan baharu berhubung protokol itu, tegasnya, beliau tidak akan menerima apa-apa perkara atau perjanjian yang disifatkan tidak menitikberatkan isu utama Britain.

Pemimpin wanita itu, kini kekal mendahului dengan 22 peratus mata di hadapan pesaingnya Rishi Sunak dalam persaingan untuk menjadi Perdana Menteri Britain menggantikan Boris Johnson.