DUNIA
Tucker Carlson umum temu bual dengan Presiden Iran selepas berselisih pendapat dengan Trump

Carlson (kiri) berkata temu bual dengan Pezeshkian itu akan disiarkan dalam beberapa hari lagi. - Reuters
WASHINGTON: Wartawan Amerika Syarikat (AS), Tucker Carlson, yang baru-baru ini berselisih pendapat secara terbuka dengan Presiden AS Donald Trump mengenai dasar terhadap Tehran, mengumumkan pada Sabtu beliau akan menyiarkan temu bualnya dengan Presiden Iran Masoud Pezeshkian, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Terdapat pelbagai soalan yang tidak saya ajukan kepada Presiden Iran, khususnya soalan yang saya tahu tidak akan dijawab dengan jujur, seperti 'Adakah program nuklear anda benar-benar dilumpuhkan oleh kempen pengeboman oleh Kerajaan AS seminggu setengah lalu?'
"Tidak mungkin beliau akan menjawab soalan itu. Secara jujurnya, saya tidak berusaha pun untuk bertanya.
Jawapannya, daripada perspektif Amerika, malah daripada perspektif CIA, memang tidak dapat diketahui," kata Carlson dalam pengumuman mengenai temu bual itu yang disiarkan di media sosial.Beliau berkata temu bual dengan Pezeshkian itu akan disiarkan dalam beberapa hari lagi, sambil memaklumkan bahawa beliau juga telah menghantar permohonan untuk mengadakan temu bual baharu dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.
"Warganegara Amerika mempunyai hak perlembagaan dan hak yang dianugerahkan Tuhan untuk mendapatkan semua maklumat tentang perkara yang memberi kesan kepada mereka.
Jika negara mereka melakukan sesuatu menggunakan wang mereka atas nama mereka, mereka mempunyai hak mutlak untuk mengetahui sebanyak mana maklumat yang boleh diperoleh, termasuk mendengar daripada pihak yang sedang mereka hadapi," kata Carlson.
Trump sebelum ini mengkritik Carlson selepas wartawan itu menyatakan bahawa perang dengan Iran boleh menyebabkan pengaruh global AS runtuh dan menamatkan penggal Presiden Trump lebih awal.
Dalam satu audio siar bersama bekas penasihat Trump, Steve Bannon, Carlson berkata tentera AS tidak bersedia untuk konflik besar dan penglibatan ketenteraan akan menjejaskan kedudukan negara itu di pentas dunia secara kekal.
Trump kemudian mendakwa Carlson telah memohon maaf kepadanya kerana mengkritik dasar pentadbirannya terhadap Iran dan menyifatkan beliau sebagai "orang baik" - sehari selepas memanggil sekutunya itu sebagai "tiga suku."
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami