Skip to main content

Dunia

Sekurang-kurangnya empat terbunuh dalam serangan bersenjata di kawasan rekreasi Afghanistan

Deadly Shooting in Herat Leaves at Least 10 Dead, Dozens Injured
Empat mayat serta 15 individu yang cedera, termasuk dua wanita, telah dihantar ke Hospital Wilayah Herat. - Foto X/@AfghanTimes7

KABUL: Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dalam satu serangan bersenjata yang menyasarkan orang awam di sebuah kawasan rekreasi di Afghanistan barat pada Jumaat, menurut pegawai Taliban dan sumber perubatan tempatan.

Serangan itu berlaku di daerah Enjil, wilayah Herat, apabila lelaki bersenjata tidak dikenali yang menaiki motosikal melepaskan tembakan berhampiran perkampungan Deh Mehri, kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri Taliban.

Advertisement

Kawasan berkenaan lazimnya sesak dengan pengunjung, khususnya pada hari Jumaat.

Angka korban bagaimanapun berbeza-beza. Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Abdul Mateen Qani, berkata maklumat awal menunjukkan tujuh orang terbunuh manakala 13 lagi cedera, dengan beberapa mangsa dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Namun, seorang pegawai wilayah mengesahkan setakat ini empat kematian direkodkan.

Ketua Jabatan Penerangan dan Kebudayaan Taliban bagi wilayah Herat, Ahmadullah Muttaqi, memberitahu kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang waktu tempatan.

Menurutnya, empat mayat serta 15 individu yang cedera, termasuk dua wanita, telah dihantar ke Hospital Wilayah Herat.

Seorang doktor di hospital berkenaan pula memaklumkan kepada media antarabangsa bahawa mangsa serangan adalah penganut Islam Syiah daripada etnik Hazara, sambil memberikan angka korban yang lebih tinggi.

Menurutnya, sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan 12 lagi cedera dalam serangan itu.

Mangsa dikatakan berada di satu makam tempatan bagi tujuan berkelah dan beriadah ketika serangan berlaku.

Komuniti Hazara, yang kebanyakannya bermazhab Syiah, merupakan golongan minoriti di Afghanistan dan sering menjadi sasaran serangan pada masa lalu.

Kampung Deh Mehri dikenal pasti sebagai kawasan majoriti Syiah serta menempatkan sebuah makam yang sering diziarahi penduduk setempat untuk berdoa.

Setakat ini, tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.

Bagaimanapun, pihak keselamatan Taliban telah menahan seorang suspek berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Pihak berkuasa Taliban menegaskan komitmen untuk mempertingkatkan keselamatan awam dan membawa pelaku serangan ke muka pengadilan, ketika kebimbangan kembali meningkat terhadap keselamatan minoriti agama di negara itu.
 

Must Watch Video