HONG KONG:Sekurang-kurangnya lapan aktivis prodemokrasi ditahan polis Hong Kong atas dakwaan terlibat tunjuk perasaan pada musim panas lalu sehingga mencetuskan pertempuran di bandaraya itu.

Tangkapan itu turut melibatkan beberapa bekas penggubal undang-undang selepas mereka dilaporkan terlibat dalam protes disertai ribuan penunjuk perasaan pada 1 Julai.

Antara yang ditahan termasuk Leung Kwok Hung yang merupakan bekas penggubal undang-undang bagi prodemokrasi.

Kwok Hung ditahan pada Selasa di kediamannya atas dakwaan berkaitan penganjuran dan menyertai tunjuk perasaan itu.

Polis Hong Kong dalam satu kenyataan memaklumkan lapan yang ditahan adalah lelaki berusia antara 24 hingga 64 tahun.

Mereka ditahan kerana menghasut, mengatur dan mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan yang tidak dibenarkan.

Untuk rekod, sejak 1 Julai lalu, lebih daripada 370 ditahan dengan sekurang-kurangnya 10 didakwa di bawah undang-undang keselamatan negara.