Turki kini giat menjalankan kajian ke atas pelarian Syria yang mendapatkan rawatan di sempadan bagi mengesan sebarang bahan sisa senjata kimia di rantaunya itu.

Menurut Menteri Luarnya, Ahmet Davutoglu, hasil siasatan bakal diumumkan apabila laporan siap sepenuhnya.

“Turki akan berkongsi hasil kajian dengan agensi pertubuhan bangsa bersatu dan negara berkepentingan setelah siasatan menyeluruh telah dilakukan terhadap senjata kimia tersebut,” katanya.

Tindakan itu diambil selepas wujud dakwaan penggunaan senjata kimia dalam konflik di Republik Islam itu.

Setakat ini, lapan pakar senjata kimia ditempatkan di sempadan bagi memeriksa pelarian yang tercedera sebelum menghantar mereka ke hospital di Turki.

Damsyik dan kumpulan pemberontak bagaimanapun menafikan tuduhan penggunaan senjata kimia di Syria.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan mendakwa, tentera Presiden Bashar Assad menembak kira-kira 200 peluru berpandu yang membawa senjata kimia.

Bagaimanapun, Turki tidak mendedahkan tuduhan itu secara terperinci.

Selain Turki, Jordan turut menerima hampir 200 ribu pelarian syria sejak konflik tercetus di republik Islam berkenaan.