INTERNATIONAL
Turkiye jadi negara pertama nyatakan solidariti bersama Pakistan

Dar berkata, Duta Besar Turkiye di Islamabad turut menjadi antara pegawai tertinggi diplomatik pertama yang menghubunginya secara peribadi selepas serangan berlaku. - Foto TRT World
ISLAMABAD: Turkiye menjadi negara pertama yang tampil menunjukkan solidariti dan mengutuk tindakan serangan rentas sempadan India ke atas Pakistan yang mengorbankan lebih 31 orang awam, awal pagi Rabu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Luar Pakistan, Ishaq Dar, dalam satu wawancara eksklusif bersama TRT World, dengan menyatakan bahawa sokongan tanpa syarat daripada Turkiye amat dihargai oleh Islamabad selepas tindakan India yang disifatkan sebagai “perbuatan perang”.
“Serangan berlaku sekitar jam 1 pagi dan panggilan pertama yang saya terima adalah daripada Menteri Luar Turkiye,” kata Dar, yang turut memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri Pakistan.
Sebagai tindak balas terhadap serangan udara India ke atas apa yang didakwa sebagai “khemah pengganas”, Tentera Udara Pakistan dilaporkan telah menembak jatuh lima pesawat milik India, termasuk tiga jet pejuang Rafale buatan Perancis.Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, turut menghubungi Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, bagi menyampaikan ucapan takziah kepada mangsa serta menyatakan kesediaan Turkiye untuk membantu meredakan ketegangan yang semakin memuncak antara dua kuasa nuklear itu.
Menurut Dar, kenyataan Erdogan sangat menyentuh hati dan membuktikan bahawa Turkiye merupakan “saudara paling rapat” kepada Pakistan.
“Kenyataan beliau amat menyokong. Ia menunjukkan hubungan kita bukan sekadar diplomatik tetapi bersifat persaudaraan yang erat,” ujar beliau.
Tambah Dar, Duta Besar Turkiye di Islamabad turut menjadi antara pegawai tertinggi diplomatik pertama yang menghubunginya secara peribadi selepas serangan berlaku.
Presiden Erdogan turut memuji pendekatan Pakistan yang tenang dan berhemah dalam menangani krisis tersebut, serta menyokong cadangan Islamabad untuk menjalankan siasatan antarabangsa yang bebas dan telus berhubung insiden serangan pada 22 April lalu di Jammu dan Kashmir.
Kementerian Luar Turkiye dalam kenyataan berasingan turut mengecam tindakan India yang disifatkan sebagai “provokatif” serta memberi amaran bahawa ia boleh mencetuskan peperangan secara besar-besaran jika tidak ditangani segera.
“Kami sangat menghargai persahabatan dan ikatan persaudaraan bersama Turkiye,” kata Dar lagi.
Selain Turkiye, beberapa negara serta badan antarabangsa turut menyuarakan kebimbangan dan menyeru agar konflik diselesaikan secara aman. Antaranya, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, telah berbincang dengan rakan sejawatannya dari India dan Pakistan, menggesa agar dialog dijalankan segera.
United Kingdom, Rusia dan Perancis juga tampil menyokong usaha diplomasi sebagai jalan terbaik untuk menamatkan ketegangan yang sedang berlaku. - Agensi/Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami