WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio berbincang menerusi telefon dengan Penasihat Keselamatan Negara Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Tahnoon bin Zayed Al Nahyan pada Selasa mengenai keselamatan serantau, menurut Jabatan Negara, lapor Anadolu Ajansi.
“Dalam perbincangan itu, kedua-dua pihak menyentuh beberapa isu keselamatan serantau termasuk Lubnan, selain penyelarasan berterusan AS-UAE bagi memastikan Iran dan proksinya bertanggungjawb atas serangan yang berterusan,” menurut jabatan itu dalam satu kenyataan.
Rubio turut menegaskan kepentingan kebebasan pelayaran melalui Selat Hormuz.
Terdahulu pada Selasa, UAE menggantung semua urusan perdagangan dan transaksi kewangan dengan Iran “hingga diberitahu kelak” selepas mendakwa Iran melancarkan dua peluru berpandu balistik ke arah negara Teluk itu.
Ketegangan di Asia Barat meningkat sejak AS dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada Februari.
Sebagai tindak balas, Tehran membalas dengan melancarkan serangan ke atas beberapa negara di rantau itu yang menempatkan aset AS termasuk UAE.
Iran dan AS menandatangani memorandum persefahaman pada pertengahan Jun menerusi pengantaraan Pakistan bagi menamatkan konflik dan mencapai perjanjian damai berkekalan.
-- BERNAMA-ANADOLU