DUNIA
UAE, Jordan ketuai misi beberapa negara gugurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza

Operasi guguran udara bantuan kemanusiaan ke-59 diketuai UAE dan Jordan bersama tujuh buah pesawat dari Perancis, Jerman, Itali dan Sepanyol. - AP
ISTANBUL: Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Jordan pada Jumaat mengetuai misi beberapa negara menghantar bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza secara guguran udara yang disertai pesawat dari Perancis, Jerman, Itali dan Sepanyol, menurut Kementerian Luar negara Teluk itu.
Menurut Anadolu Ajansi (AA), Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar UAE Sheikh Abdullah bin Zayed Al Nahyan bercakap dengan rakan sejawatnya dari Jordan, Ayman Safadi melalui telefon bagi membincangkan perkembangan kemanusiaan di Gaza dan cara untuk meningkatkan usaha penyelarasan bantuan.
Sheikh Abdullah berkata di bawah arahan Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, negara itu terus menerajui inisiatif global untuk menyediakan sokongan kemanusiaan segera kepada rakyat Palestin di Gaza melalui operasi darat, udara dan laut dalam keadaan krisis kemanusiaan yang kritikal.
Beliau berkata operasi guguran udara bantuan kemanusiaan ke-59 dilaksanakan pada Jumaat yang diketuai UAE dan Jordan bersama tujuh buah pesawat dari Perancis, Jerman, Itali dan Sepanyol.Abdullah menyifatkan usaha itu sebagai model kerjasama antarabangsa yang berkesan dalam tindak balas kemanusiaan.
Tentera Israel sebelum ini mengumumkan bahawa negara-negara asing dibenarkan menghantar bantuan ke Gaza melalui guguran udara.
Bagaimanapun, bantuan yang dihantar ke Gaza yang dilanda kebuluran menerusi kaedah payung terjun sebelum ini dilaporkan menghempap orang awam dan mengakibatkan kematian.
Sebahagian bantuan juga jatuh ke laut, menyebabkan orang awam yang kelaparan bergegas ke pantai dan masuk ke dalam air. Kaedah penghantaran melalui payung terjun itu turut mengundang kritikan.
Minggu lepas, Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi amaran bahawa satu pertiga penduduk Gaza tidak mendapat makanan selama beberapa hari berturut-turut akibat sekatan Israel.
WFP menganggarkan bahawa seorang daripada setiap empat rakyat Palestin di Gaza berdepan keadaan seperti kebuluran dan seramai 100,000 wanita serta kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan akut.
Israel telah mengekalkan sekatan ke atas Gaza sejak 18 tahun lalu dan sejak 2 Mac, semua lintasan sempadan ditutup sepenuhnya, sekali gus menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan dan memburukkan lagi keadaan di wilayah itu.
Pegawai Palestin menyatakan sekurang-kurangnya 600 trak bantuan diperlukan setiap hari untuk memenuhi keperluan 2.4 juta penduduk Gaza.
Tentera Israel telah melancarkan serangan kejam ke atas Gaza sejak 7 Okt 2023, membunuh lebih 60,300 rakyat Palestin. Pengeboman tanpa henti itu telah memusnahkan wilayah berkenaan dan menyebabkan krisis kekurangan makanan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami