UJIAN Klinikal Fasa Tiga bagi vaksin COVID-19 Pfizer telah menunjukkan kesan yang sangat positif dengan 95 peratus keberkesanan.

Keputusan siri ujian menunjukkan vaksin berkenaan berkesan untuk mencegah jangkitan termasuk bagi warga emas, malah tiada isu keselamatan yang serius.

Daripada keputusan ujian itu, syarikat berkenaan yakin vaksin itu mampu bertindak aktif dengan cukup berkesan melawan virus COVID-19.

“Keberkesanannya adalah sangat konsisten bagi setiap lapisan usia, bangsa dan etnik. Tindak balas keberkesanan (vaksin berkenaan) yang diperolehi membabitkan orang dewasa yang berusia 65 tahun ke atas adalah lebih 94 peratus,” kata Pfizer dalam satu kenyataan bersama rakan kongsi Jerman, BioNTech pada Rabu.

Pfizer berkata, pihaknya akan memohon kelulusan untuk penggunaan vaksin berkenaan daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) serta badan berkaitan di peringkat global dalam masa terdekat.

"Data ini akan diserahkan kepada badan pengawalseliaan lain juga di seluruh dunia,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BioNTech, Dr Ugur Sahin yang juga pengasas bersama syarikat berkenaan,  berpendapat vaksin itu perlu digunakan dengan segera kerana menjadi satu-satunya vaksin paling efektif kesannya ketika ini.

“Vaksin tersebut telah menunjukkan keputusan kadar perlindungan sangat berkesan dan sesuai untuk semua peringkat umur. Ia adalah yang paling berkesan untuk mengawal jangkitan wabak ketika ini," katanya.

Pada 9 November lalu, Pfizer telah mengumumkan bahawa hasil ujian vaksin yang dijalankannya menunjukkan tahap keberkesanan sehingga 90 peratus namun masih enggan berpuas hati dan mahu menjalankan ujian tambahan.

Ujian Klinikal Fasa Tiga vaksin berkenaan bermula pada 27 Julai lalu di mana telah membabitkan 43,661 sukarelawan.

FDA sebelum ini mengatakan bahawa ia memerlukan pengawasan selama sekurang-kurangnya dua bulan terhadap semua sukarelawan terbabit selepas menerima vaksin ujian tersebut.

Selain Pfizer, Moderna pada Isnin mengumumkan vaksin buatan mereka yang juga jenis vaksin mRNA, adalah 94.5 peratus berkesan.

Pemaju vaksin Rusia, Sputnik V turut melaporkan vaksin mereka sudah berada pada tahap akhir ujian klinikal dengan hasil keberkesanan vaksin 92 peratus.