Skip to main content

Dunia

UK siap sedia laksana misi pemindahan 300,000 warga dari Asia Barat

British Foreign Secretary Yvette Cooper, president of the United Nations Security Council for February, speaks during a press conference before the Security Council meeting, at U.N. headquarters in New York City, U.S., February 19, 2026. REUTERS/Jeenah Moon
Yvette Cooper memaklumkan kira-kira 300,000 warga Britain telah mendaftarkan keberadaan mereka di rantau berkenaan, dan kerajaan sedang mengaktifkan pelbagai mekanisme keselamatan serta sokongan logistik bagi menghadapi sebarang kemungkinan. -Foto fail/Reuters

LONDON: United Kingdom (UK) kini berada dalam tahap persediaan rapi bagi memulakan misi pemindahan besar-besaran rakyatnya dari Asia Barat, susulan konflik ketenteraan yang semakin memuncak melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan Israel sejak hujung minggu lalu.

Setiausaha Luar Britain, Yvette Cooper, memaklumkan bahawa kira-kira 300,000 warga Britain telah mendaftarkan keberadaan mereka di rantau berkenaan, dan kerajaan sedang mengaktifkan pelbagai mekanisme keselamatan serta sokongan logistik bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Advertisement

Bercakap kepada Sky News, Cooper berkata kerajaan sedang meneliti pelbagai pilihan pemindahan, termasuk bekerjasama rapat dengan industri pelancongan, penyedia perjalanan serta merangka misi pemindahan kendalian kerajaan sekiranya keadaan mendesak. 

Beliau menegaskan bahawa UK sangat berharap ruang udara negara-negara Teluk dapat dibuka semula bagi melancarkan pergerakan keluar orang awam.

Sebagai langkah awal, Britain telah menghantar pasukan atur gerak pantas ke rantau Asia Barat bagi menyelaras urusan pemindahan dengan syarikat penerbangan dan operator kembara, termasuk menilai laluan alternatif sekiranya ruang udara terus ditutup.

Langkah ini diambil berikutan penutupan lapangan terbang utama seperti Dubai dan Doha, yang kini menyebabkan ribuan penerbangan terbatal dan puluhan ribu pelancong terkandas.

Konflik serantau itu kini mencetuskan gelombang kebimbangan besar terhadap keselamatan rakyat Britain di negara-negara Teluk, terutama selepas insiden peluru berpandu dan dron melanda beberapa bandar utama termasuk Doha, Dubai dan Kuwait City.

Kerajaan UK setakat ini menasihati semua warganya supaya kekal berada di tempat selamat, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan sentiasa mengikuti kemas kini perjalanan yang dikeluarkan Foreign Office.

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found