KYIV/MOSCOW: Ukraine menafikan terlibat dalam serangan dron di Moscow, ibu negara Rusia, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

"Sudah pasti kami tidak terlibat," kata penasihat pejabat presiden di Kyiv, Mykhailo Podolyak, pada Selasa dalam satu program radio.

Beliau berkata dron Rusia mungkin telah kembali kepada penghantarnya.

"Anda tahu bahawa kita sedang menghampiri era kecerdasan buatan. Mungkin tidak semua dron bersedia untuk menyerang Ukraine dan mahu kembali kepada penciptanya," kata Podolyak.

Pada masa yang sama, penasihat kerajaan Ukraine itu menjangkakan jumlah serangan ke atas wilayah Rusia mungkin akan terus meningkat.

"Semua orang yang percaya... bahawa mereka boleh memusnahkan negara berdaulat lain dengan sewenang-wenangnya masih belum faham selepas 15 bulan mereka masih belum mencapai apa yang berlaku pada 2014," katanya merujuk kepada tahun Rusia mengambil alih semenanjung Crimea di Ukraine.

-- BERNAMA