DUNIA
Ukraine serang loji minyak Rusia jarak 800km dari sempadan

Kiri, kapal membawa peluru dan komponen dron dari Iran yang didakwa diserang, kanan, kebakaran di Loji Penapisan Syzran yang terletak di wilayah Samara, berhampiran Sungai Volga. - Foto tangkap layar media sosial
MOSCOW/KYIV: Tentera Ukraine melancarkan serangan dron ke atas infrastruktur minyak strategik Rusia beberapa jam sebelum sidang kemuncak antara Amerika Syarikat (AS) dan Rusia yang berlangsung di Alaska pada Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Saluran Telegram dari kedua-dua pihak Rusia dan Ukraine melaporkan kebakaran besar di Loji Penapisan Syzran yang terletak di wilayah Samara, berhampiran Sungai Volga.
Gabenor Samara Vyacheslav Fedorishchev mengesahkan secara umum yang serangan berlaku di wilayah itu.
"Laporan awal menunjukkan 13 dron musuh berjaya ditembak jatuh," katanya menerusi Telegram.Loji penapisan Syzran terletak kira-kira 800 kilometer dari sempadan Ukraine.
Dron jarak jauh kini menjadi senjata paling berkesan Ukraine dalam mempertahankan diri daripada pencerobohan Rusia. Serangan dron kebelakangan ini menyasarkan loji penapisan, depoh bahan api, saluran paip, landasan kereta api dan kemudahan tentera jauh di dalam wilayah Rusia.
Staf Umum Tentera Ukraine di Kyiv turut melaporkan satu lagi serangan ke atas pelabuhan pedalaman Rusia di Olya, berhampiran Laut Kaspia.
Menurut satu kenyataan di Facebook tentera, sebuah kapal yang membawa peluru dan komponen dron dari Iran diserang, namun, pihak berkuasa Rusia belum mengesahkan insiden itu.
Presiden AS Donald Trump dan Presiden Rusia Vladimir Putin dijadual bertemu pada Jumaat di Anchorage, Alaska. Trump dijangka membincangkan gencatan senjata di Ukraine dan kemungkinan penamatan perang dalam sidang kemuncak yang dinanti-nantikan itu.
Setakat ini, Putin belum menunjukkan sebarang tanda akan melakukan konsesi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami