JAKARTA: Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) membantu lebih 1.5 juta pelarian dan pelarian domestik di 21 negara menerusi dana sadaqah dan zakat yang diterima tahun lepas.

Dana zakat dan sadaqah agensi itu masing-masing menerima AS$21.4 juta (AS$1=RM4.47) dan AS$16.7 juta dalam bentuk sumbangan, kata pegawai Asia Pacific Islamic Philanthropy, Billy Stelljes.

Dana Zakat telah membantu lebih 727,000 penerima bantuan di 17 negara termasuk pelarian di Bangladesh, Indonesia dan Malaysia.

"Selain itu, dana berkenaan juga membantu pelarian domestik di Afghanistan, Iraq, Nigeria, Somalia dan Yaman," katanya pada Islamic Philanthropy Annual Report 2023 UNHCR 2023, di sini pada Selasa.

Dana sadaqah pula telah membantu lebih 839,000 penerima manfaat di 15 negara pada tahun lepas, termasuk pelarian di Bangladesh, India dan Malaysia.

Sementara itu, keperluan global UNHCR tahun ini meningkat kepada AS$10.2 bilion untuk membantu 117.3 juta pelarian dan pelarian domestik serta lain-lain.

Wakil UNHCR di Indonesia, Ann Maymann berkata jumlah orang yang terpaksa berpindah di seluruh dunia mencecah 100 juta kerana konflik dan perubahan iklim.

Sehingga Disember tahun lalu, terdapat 12,706 orang berdaftar dengan UNHCR di Indonesia, termasuk 74 peratus dewasa dan 26 peratus kanak-kanak.

-- BERNAMA