BANGKOK: Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menggesa pihak berkuasa tempatan supaya mengambil tindakan segera bagi memastikan etnik Rohingya dilindungi selepas berlaku percubaan untuk mengusir etnik itu di Banda Aceh, Indonesia.

Dalam satu kenyataan, UNHCR berkata ia amat kesal mendapat tahu kumpulan perusuh menyerbu lokasi yang menyediakan perlindungan kepada keluarga pelarian, majoritinya kanak-kanak dan wanita.

Kumpulan itu menuntut etnik Rohingya berkenaan diusir sebelum memindahkan mereka secara paksa ke lokasi lain.

"UNHCR masih amat bimbang mengenai keselamatan pelarian dan menyeru pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang tempatan untuk segera bertindak bagi memastikan perlindungan terhadap semua individu yang terdesak dan kakitangan kemanusiaan.

"Serangan ke atas pelarian bukanlah tindakan terpencil tetapi ia berpunca daripada kempen dalam talian yang diselaraskan dengan maklumat salah, maklumat palsu dan ucapan berbaur kebencian terhadap pelarian selain percubaan untuk memburukkan usaha Indonesia dalam menyelamatkan nyawa mereka yang terdesak di laut," katanya.

Ratusan anak muda dipercayai pelajar institusi pengajian tinggi pada Rabu menyerbu sebuah bangunan bawah tanah yang menjadi tempat pelarian berlindung.

Kumpulan perusuh itu merempuh halangan polis dan memaksa 137 pelarian menaiki dua trak untuk memindahkan mereka ke lokasi lain di Banda Aceh. Insiden itu telah menyebabkan rasa terkejut dan trauma pada pelarian.

"UNHCR merayu kepada orang ramai di Indonesia untuk menyemak maklumat yang dimuat naik dalam talian, kebanyakannya palsu atau diputarbelit dengan imej yang dijana AI dan ucapan kebencian dihantar daripada akaun bot," menurut kenyataan itu.

UNHCR mengingatkan semua orang bahawa pelarian kanak-kanak, wanita dan lelaki yang mencari perlindungan di Indonesia adalah mangsa penganiayaan dan konflik serta merupakan mangsa terselamat daripada perjalanan laut berbahaya.

Menurut UNHCR, Indonesia - dengan tradisi kemanusiaannya yang telah lama wujud - telah membantu menyelamatkan mereka yang terdesak ini daripada mati di laut - seperti ratusan yang lain.

-- BERNAMA