PEMILIK rangkaian fesyen Jepun, Uniqlo akan menaikkan gaji kakitangan di negara itu sehingga 40 peratus.

Syarikat itu berkata dasar gaji baharu tersebut akan dikuatkuasakan kepada pekerja sepenuh masa di ibu pejabat dan kedai di seluruh Jepun mulai awal Mac.

Minggu lalu, Perdana Menteri Jepun menyeru firma dan syarikat korporat supaya menaikkan gaji bagi membantu orang ramai yang bergelut dengan kenaikan kos sara hidup.

Seruan itu dibuat ketika gaji di negara tersebut kekal tidak berubah walaupun inflasi meningkat pada kadar paling pantas dalam beberapa dekad.

Syarikat itu berkata, langkah tersebut untuk memberi ganjaran kepada pekerja dengan sewajarnya, serta meningkatkan potensi pertumbuhan dan daya saing syarikat selaras dengan piawaian global.

Di bawah dasar baharu itu, gaji bulanan graduan universiti akan meningkat daripada ¥255,000 (RM8,417) kepada ¥300,000 (RM9,903), peningkatan hampir 18 peratus.

Pada masa yang sama, pengurus kedai baharu dalam tahun pertama atau kedua mereka akan menyaksikan peningkatan gaji kira-kira 35 peratus.

Pekerja yang digaji mengikut jam telah menerima kenaikan gaji pada September tahun lalu.