Universiti di Ireland digesa perkenal semula ujian lisan tangani salah guna AI

Antara langkah yang dicadangkan ialah penggunaan secara rutin kaedah "pengesahan lisan", iaitu pelajar dikehendaki membincangkan tugasan mereka secara bersemuka bagi membuktikan hasil kerja berkenaan adalah milik mereka sendiri. - Gambar hiasan
LONDON: Universiti di Ireland mungkin memperkenalkan semula temu duga bersemuka dan peperiksaan bertulis tradisional sebagai sebahagian daripada usaha baharu untuk membendung penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan tinggi, lapor Anadolu Ajansi (AA) dengan memetik garis panduan Pihak Berkuasa Pendidikan Tinggi (HEA).
Cadangan itu terkandung dalam satu laporan setebal 20 halaman yang menggesa institusi pengajian tinggi mereka bentuk semula kaedah penilaian bagi memastikan hasil kerja pelajar adalah tulen.
Antara langkah yang dicadangkan ialah penggunaan secara rutin kaedah "pengesahan lisan", iaitu pelajar dikehendaki membincangkan tugasan mereka secara bersemuka bagi membuktikan hasil kerja berkenaan adalah milik mereka sendiri.
HEA berkata pertumbuhan pesat alat kecerdasan buatan generatif, yang mampu menghasilkan esei dan bahan akademik lain yang meyakinkan, telah menyukarkan pensyarah menilai keaslian tugasan pelajar.
Berbanding bergantung kepada perisian pengesanan AI yang disifatkan oleh laporan itu sebagai tidak boleh dipercayai, HEA mengesyorkan agar keutamaan diberikan kepada penilaian manusia dan interaksi secara langsung dengan pelajar.
Laporan itu turut mencadangkan agar institusi mewujudkan mekanisme penilaian lisan sebagai langkah perlindungan bagi membolehkan pensyarah mengesahkan keaslian tugasan melalui perbincangan, dengan keputusan penilaian lisan diberi keutamaan berbanding penilaian bertulis.
Laporan berkenaan menegaskan bahawa proses integriti perlu berasaskan dialog, bukti dan keadilan, bukannya bergantung sepenuhnya kepada alat automatik.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


