DUNIA
Universiti Jepun tubuh pusat pengajian sains kosmetik hadapi persaingan global

Kodama (foto) berkata ia membolehkan pelajar mengkaji secara sistematik sifat kimia dalam kosmetik dan kesannya terhadap kulit, sekali gus menggalakkan penyelidikan dan pembangunan serta melahirkan pakar dalam bidang berkenaan. -Foto Saga University
SAGA: Dalam langkah yang jarang berlaku, sebuah universiti kebangsaan di barat daya Jepun akan menubuhkan pusat pengajian khusus kosmetik pada April depan, ketika negara itu berusaha meningkatkan daya saing global industri solekan, lapor Kyodo News pada Ahad.
Ringkasan AI
- Universiti Saga di barat daya Jepun akan menubuhkan Pusat Pengajian Sains Kosmetik pada April depan, yang pertama seumpamanya di universiti awam negara itu.
- Pusat ini akan menawarkan kurikulum merangkumi kimia, biologi dan pemasaran, dengan pengajaran praktikal serta latihan industri untuk melahirkan pakar kosmetik.
- Langkah ini menyokong usaha Jepun meningkatkan daya saing global industri kosmetik melalui kerjasama antara akademik, industri dan kerajaan.
"Produk penjagaan kulit kini mendapat permintaan lebih tinggi berbanding sebelum ini, tanpa mengira jantina," kata Presiden Universiti Saga, Hiroaki Kodama pada satu sidang akhbar.
Beliau menyatakan kerajaan juga sedang mengambil langkah untuk menjadikan bidang kosmetik sebagai industri berdaya saing global dan berharap pembangunan produk serta penyelidikan dapat dipertingkatkan melalui kerjasama antara industri, kerajaan dan ahli akademik.
Pusat pengajian itu akan menerima 30 pelajar yang akan mempelajari subjek termasuk kimia, biologi dan pemasaran.
Kurikulumnya akan memasukkan pengajaran praktikal, termasuk syarahan oleh profesional industri serta latihan industri di syarikat.
Graduan dijangka menceburi kerjaya di syarikat kosmetik, bahan mentah kimia serta pengeluar makanan dan minuman.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami