INTERNATIONAL
Unjuran pertumbuhan ekonomi global disemak turun, tiada kemelesetan dijangka - IMF

Kristalina Georgieva ketika ditemu bual media pada Sidang Kemuncak Kerajaan Dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu, 11 Feb 2025. - Gambar fail/AP
ISTANBUL: Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Kristalina Georgieva pada Khamis berkata laporan World Economic Outlook (WEO) terbaharu yang akan diterbitkan minggu depan akan menyaksikan semakan penurunan ketara terhadap unjuran pertumbuhan ekonomi global, namun tidak menunjukkan petanda kemelesetan.
IMF pada Januari lalu mengunjurkan pertumbuhan global sebanyak 3.3 peratus masing-masing bagi 2025 dan 2026, lapor Anadolu Ajansi.
Georgieva berkata bahawa aliran perdagangan global dijangka mengalami perubahan apabila negara-negara memperkenalkan pelbagai halangan dalam bentuk tarif dan sekatan bukan tarif.
Walaupun perdagangan akan terus berlaku, gangguan ini akan mengakibatkan peningkatan kos operasi."Kami akan mengira kos ini dalam laporan World Economic Outlook yang baharu dan akan diterbitkan awal minggu hadapan.
"Unjuran pertumbuhan dalam laporan itu akan menyaksikan penyusutan yang ketara, namun tiada kemelesetan dijangka," katanya dalam satu ucapan di Washington.
Beliau turut memaklumkan bahawa laporan itu juga akan menyertakan semakan naik terhadap unjuran inflasi bagi beberapa negara.
Mengulas mengenai prospek ekonomi global, Georgieva berkata daya tahan ekonomi dunia kembali diuji susulan penstrukturan semula sistem perdagangan global yang dicetuskan oleh pelaksanaan tarif oleh Amerika Syarikat dan tindak balas dari China serta Kesatuan Eropah.
Kejatuhan harga saham global yang berlaku ketika ketegangan perdagangan meningkat mencerminkan hakikat bahawa dunia hari ini berdepan perubahan mendadak dan meluas, katanya.
Ketua IMF itu turut menekankan bahawa apa yang sedang berlaku kini berpunca daripada "hakisan kepercayaan" dalam sistem perdagangan antarabangsa.
"Penyelewengan perdagangan -- termasuk halangan tarif dan bukan tarif --menyumbang kepada persepsi negatif terhadap sistem multilateralisme yang dilihat gagal menyediakan medan persaingan yang adil," kata Georgieva.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami