KUALA LUMPUR: Bekas penyerang kebangsaan, Mohd Safee Sali berpandangan, ketiadaan perlawanan persahabatan menjelang tugasan antarabangsa tidak semestinya memberi kesan negatif kepada skuad Harimau Malaya, asalkan pemain memanfaatkan sepenuhnya tempoh latihan dalam kem kebangsaan.
Beliau berkata, meskipun perlawanan persahabatan merupakan elemen penting dalam persiapan sesebuah pasukan, latihan intensif dalam kem kebangsaan juga mampu membantu pemain meningkatkan pemahaman taktikal dan membina keserasian pasukan.
“Perlawanan persahabatan memang bagus untuk persiapan sebenarnya. Tapi kalau tak ada perlawanan persahabatan, latihan pun saya rasa sudah cukup memadai untuk pemahaman taktikal dan mendapatkan keserasian.
“Jika tak ada perlawanan persahabatan pun, jika mereka bersatu dalam satu kem, itu satu perkara yang baik untuk pasukan kebangsaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Kejohanan Mamee Hana Safee Sali Superkids Cup, di sini, pada Ahad.
Mohd Safee turut mengingatkan pemain kebangsaan supaya terus mengekalkan tahap kecergasan dan prestasi menjelang musim baharu.
Menurut beliau, pemain profesional sememangnya memahami tanggungjawab untuk menjaga tahap kecergasan dan prestasi masing-masing, selain bijak memanfaatkan tempoh rehat selepas berakhirnya musim liga bagi membuat persiapan rapi menghadapi cabaran mendatang.
Skuad Harimau Malaya yang kini menghuni ranking ke-138 dunia dijadual mengharungi saingan Piala ASEAN dari Julai hingga Ogos depan.
Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama juara tujuh kali Thailand, Filipina, Myanmar dan Laos, manakala Kumpulan A dibarisi Vietnam, Singapura, Indonesia, Kemboja serta pemenang perlawanan play-off antara Brunei dan Timor-Leste.
Sementara itu, mengulas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang dijadual berlangsung pada 4 Jun ini, Mohd Safee berpandangan, bola sepak negara memerlukan nafas baharu, termasuk menerusi penglibatan lebih ramai individu baharu dalam pentadbiran badan induk berkenaan.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memperkukuh keyakinan pemegang taruh terhadap kepimpinan FAM, selain membuka ruang kepada idea dan pendekatan baharu dalam usaha memajukan bola sepak negara.
“Saya rasa kita memerlukan muka baharu yang lebih segar untuk mengembalikan kepercayaan kepada tampuk pimpinan organisasi kita.
“Mungkin dengan beberapa muka baharu dalam organisasi boleh memberi dan mengubah perancangan bola sepak kita. Apa yang penting, kita perlu bergerak ke hadapan dan melakukan perubahan lebih baik untuk pasukan negara,” katanya.
-- BERNAMA