Usaha tangani perubahan iklim terjejas, AS tarik diri dari Dana Iklim Hijau 'radikal'

Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent berkata Washington menamatkan penyertaannya berkuat kuasa serta-merta. - Reuters
ISTANBUL: Satu tamparan hebat terhadap usaha menangani perubahan iklim, apabila Amerika Syarikat (AS) telah menarik diri daripada Dana Iklim Hijau (GCF), sebuah mekanisme utama tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membiayai projek iklim di negara membangun, lapor Anadolu Ajansi .
Jabatan Perbendaharaan AS melabelkan inisiatif itu sebagai "radikal".
"Negara kita tidak akan lagi membiayai organisasi radikal seperti GCF yang matlamatnya bertentangan dengan fakta bahawa tenaga yang berpatutan dan boleh dipercayai adalah asas kepada pertumbuhan ekonomi dan pembasmian kemiskinan," kata Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent menerusi platform media sosial X pada Khamis.
Beliau berkata Washington menamatkan penyertaannya berkuat kuasa serta-merta.
Dalam kenyataan berasingan, jabatan itu memaklumkan bahawa pihaknya telah secara rasmi memberitahu GCF mengenai keputusan berkenaan dan akan melepaskan kerusi AS dalam lembaga pengarah dana berkenaan.
Langkah itu dikatakan selaras dengan tindakan pentadbiran Trump yang menarik diri secara lebih luas daripada Konvensyen Rangka Kerja PBB mengenai Perubahan Iklim, di bawah mana dana itu ditubuhkan.
Jabatan itu menyatakan bahawa penyertaan berterusan dalam dana tersebut tidak lagi sesuai dengan keutamaan pentadbiran yang kini memberi tumpuan kepada peluasan sumber tenaga yang disifatkannya sebagai "berpatutan dan boleh dipercayai".
Pentadbiran itu telah lama mendakwa bahawa tenaga boleh baharu tidak berpatutan atau tidak boleh dipercayai, meskipun harga tenaga boleh baharu semakin kompetitif dengan bahan api fosil selain tahap kebolehpercayaannya yang semakin meningkat.
Beberapa negeri di AS menyatakan bahawa tindakan Washington menghentikan projek tenaga boleh baharu mengancam bekalan tenaga mereka dan hanya akan menyebabkan kos meningkat lebih tinggi.
GCF yang berpangkalan di Korea Selatan, diwujudkan untuk membantu menyalurkan pembiayaan iklim kepada negara membangun. Setakat ini, tiada reaksi segera daripada pihak GCF berhubung keputusan AS itu.
Presiden AS Donald Trump telah lama mengkritik inisiatif iklim antarabangsa dengan menyifatkan perubahan iklim sebagai satu "penipuan" dan menentang pemberian subsidi untuk tenaga boleh baharu.
Sejak kembali memegang jawatan setahun lalu, beliau sekali lagi menarik AS keluar daripada Perjanjian Paris, membatalkan perintah eksekutif berkaitan iklim, dan mengisytiharkan kecemasan tenaga bertujuan mempercepatkan projek minyak, gas dan arang batu sambil menyekat pembangunan tenaga angin.
Ahli sains berpendapat tindakan AS menarik diri daripada usaha menangani perubahan iklim akan menjadikan perubahan bencana pada iklim bumi lebih sukar dielakkan, sekali gus membahayakan berbilion nyawa.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


