Ngauman harimau di Proton CIty, Perhilitan hantar petugas untuk pantau

Siasatan dilakukan berikutan tular satu video yang memaparkan bunyi ngauman harimau di platform media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp. - Gambar hiasan/BERNAMA
IPOH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak menjalankan siasatan berhubung laporan orang ramai terdengar ngauman harimau berdekatan Taman Rekreasi Ujana Muallim, Proton City dekat Tanjong Malim
Pengarahnya Yusoff Shariff berkata setakat ini pihaknya masih belum menerima laporan rasmi namun telah menghantar petugasnya untuk menjalankan siasatan lanjut.
Beliau berkata siasatan dilakukan berikutan tular satu video yang memaparkan bunyi ngauman harimau di platform media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.
"Setakat ini, kami hanya menerima laporan berhubung dakwaan orang ramai terdengar bunyi ngauman harimau melalui aplikasi grup WhatsApp.
"Perhilitan sudah menghantar petugas untuk menyiasat perkara itu dan mereka akan ke lokasi untuk pemantauan serta tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Terdahulu dalam rakaman video yang tular di media sosial berdurasi 15 saat itu, kedengaran ngauman seperti harimau yang didakwa berhampiran hutan berdekatan sebuah sekolah menengah dan kawasan perumahan di Proton City, Tanjong Malim.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


