Utara Maghribi dilanda dua gempa bumi lemah ketika berdepan bencana banjir

Anggota keselamatan membantu dalam operasi menyelamat susulan banjir yang melanda akibat air Sungai Loukkos melimpah, di Ksar El Kebir, Maghribi, 2 Feb 2026. - Gambar fail.REUTERS
RABAT (Maghribi): Kawasan di utara Maghribi dilanda dua gempa bumi lemah pada Sabtu ketika sebahagian besar rantau itu terus bergelut dengan banjir yang menyebabkan bandar-bandar terputus hubungan, kampung-kampung ditenggelami air, serta puluhan ribu penduduk terpaksa dipindahkan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Gegaran pertama berukuran 3.8 pada skala Richter direkodkan di kawasan Arbaa Taourirt di wilayah Al Hoceima, menurut Pengarah Institut Geofizik Kebangsaan Maghribi, Nasser Jabour. Gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 13 kilometer dan tidak mengakibatkan sebarang korban jiwa atau kerosakan harta benda.
Gegaran kedua, berukuran 2.8 magnitud, kemudian direkodkan di kawasan Tilouguite di wilayah Azilal, juga tanpa menyebabkan sebarang kerosakan.
Jabour berkata puluhan gegaran susulan yang lebih lemah dikesan di pelbagai bahagian negara itu pada hari yang sama, namun kekuatannya tidak melebihi dua darjah dan kebanyakannya tidak dirasai penduduk.
Aktiviti seismik itu berlaku ketika wilayah utara dan barat negara itu masih dilanda hujan luar biasa yang mencetuskan banjir buruk sejak akhir Januari, memutuskan jalan raya dan "mengepung" keseluruhan komuniti dengan air.
Menurut pewarta Anadolu di lapangan, beberapa bandar dan kampung, termasuk Oulad Hussein berhampiran Sidi Slimane dan Al-Hawafat di wilayah Sidi Kacem, masih "dikepung" air banjir, mendorong Angkatan Tentera Diraja menghantar bantuan makanan kepada penduduk yang terkandas.
Data rasmi menunjukkan banjir menjejaskan wilayah Larache, Kenitra, Sidi Kacem dan Sidi Slimane selepas Sungai Loukkos melimpah susulan Empangan Al-Wahda (Oued Al-Makhazine) mencapai 156 peratus daripada kapasitinya buat pertama kali.
Pada Jumaat, Kementerian Dalam Negeri memaklumkan lebih 154,000 orang telah dipindahkan dari wilayah terjejas banjir dalam tempoh 10 hari lalu, ketika hujan lebat berterusan merumitkan operasi menyelamat dan bantuan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


