WARRINGTON: Kakak kepada seorang lelaki yang maut akibat masalah pembekuan darah selepas menerima vaksin AstraZeneca menyifatkan kematian itu sebagai mengejutkan.

Bagaimanapun dia masih mempercayai manfaat vaksin dan menggesa orang ramai untuk mengambilnya.

Neil Astles, 59, diberi suntikan vaksin AstraZeneca pada 17 Mac dan meninggal dunia pada 4 April.

Kakaknya, Alison Astles mengatakan bahawa dia merasa terkejut dan marah setelah kematian adiknya itu.

Tetapi dia menambah sebagai ahli farmasi dia memahami tentang proses 'pharmacovigilance', peranan pengatur kesihatan dan keseimbangan risiko dan manfaat pada setiap ubat yang diambil termasuk vaksin.

"Saya masih yakin bahawa demi kebaikan penduduk dan menyelamatkan sejumlah besar nyawa akibat wabak ini, orang ramai harus terus mengambil vaksin," katanya.

Terdahulu, pihak berkuasa Britain mengesyorkan bahawa vaksin COVID-19 AstraZeneca tidak diberikan kepada orang dewasa di bawah usia 30 tahun susulan bukti kukuh mengaitkan vaksin itu dengan pembekuan darah.

Saranan tersebut dibuat selepas pengawal selia di United Kingdom dan Kesatuan Eropah (EU) menekankan bahawa faedah menerima vaksin terus melebihi risiko bagi kebanyakan orang.

Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA) mengatakan bahawa pihaknya telah menemui "kemungkinan hubungan" antara suntikan dan pembekuan darah yang jarang berlaku.

Pihak berkuasa Britain mengesyorkan agar orang yang berumur di bawah 30 tahun ditawarkan alternatif untuk AstraZeneca.