BEIJING: China perlu mempertimbangkan pemberian vaksin kepada kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun bagi meningkatkan kadar vaksinasi.

Pandangan itu disuarakan pakar pusat kawalan penyakit China susulan data menunjukkan lebih 70 peratus penduduk negara itu telah menerima vaksin COVID-19, pada Khamis.

Negara itu selesai memberikan dos lengkap kepada 1.01 bilion individu atau 72 peratus daripada 1.4 bilion populasinya setakat 15 September.

Data daripada pihak berkuasa kesihatan menunjukkan China menjadi antara negara yang paling tinggi memberikan vaksin kepada penduduknya.

Ketua Pakar Program Imunisasi China di Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit China, Wang Huaqing berkata, negara itu perlu tetap berwaspada kerana varian Delta mudah melemahkan usaha membangunkan kekebalan imuniti kelompok.

Katanya, hanya apabila lebih banyak individu diberikan vaksin barulah kesannya dapat dilihat.

Justeru itu, beliau berpandangan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah juga perlu dipertimbangkan untuk Program Imunisasi China.

Kenyataan itu dibuat ketika wilayah tenggara Fujian menghadapi lonjakan kes COVID-19 dengan 200 kes tempatan dalam masa kurang seminggu dan menyebabkan jangkitan antara pelajar sekolah.

Dua vaksin utama China, yang dikembangkan oleh Sinovac dan Sinopharm, telah diluluskan untuk digunakan pada kanak-kanak dari usia tiga tahun.

Bagaimanapun pihak kawal selia vaksin belum menjadikan kanak-kanak di bawah 12 tahun layak untuk mengikuti program ini.