PETUGAS kesihatan di United Kingdom (UK) bimbang program vaksinasi dalam kalangan kumpulan etnik berlainan di negara itu tidak seimbang.

Pengarah klinikal Dr Naheed Khan-Lodhi memaklumkan, setakat ini, kawasan pedalaman London mencatat penerimaan vaksin dalam kalangan orang kulit hitam hanya 36 peratus.

Ia menunjukkan perbezaan ketara antara orang berkulit putih yang kini merekodkan lebih 70 peratus.

“Kami melihat kepada data dan menyedari beberapa pendekatan dalam kalangan komuniti agak rendah. Jadi, kami melihat kepada kalangan populasi secara keseluruhannya, ia menunjukkan sehingga 70 peratus.

“Kita mempunyai kumpulan etnik minoriti yang banyak di negara ini. Dalam komuniti Pakistan, ia antara 45 dan 50 peratus, dalam kalangan orang kulit hitam Afrika, ia hanya 36 hingga 38 peratus. Peratusan itu agak rendah,” katanya.

Beliau pada masa sama, beliau mengaitkan keraguan vaksin dalam kalangan beberapa kumpulan etnik dengan pelbagai faktor, termasuk "ketidakpercayaan" dalam industri farmaseutikal.

Dalam usaha meningkatkan kadar imunisasi yang rendah di antara beberapa etnik, Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) mendirikan pusat vaksinasi di pusat-pusat kecil seperti gereja.