WASHINGTON: Amerika Syarikat akan memulakan program vaksinasi COVID-19 untuk kanak-kanak berusia di bawah umur lima tahun seawal 21 Jun ini.

Perkara itu disahkan Penyelaras Tindak Balas COVID-19 White House, Ashush Jha.

Jha juga yakin negara itu mempunyai bekalan vaksin yang mencukupi daripada Pfizer-BioNTech dan Moderna untuk memulakan program kepada golongan tersebut.

Katanya, kerajaan persekutuan akan menyediakan 10 juta vaksin kepada pihak berkuasa negeri dan tempatan untuk memulakan vaksinasi meluas bagi kanak-kanak di bawah umur lima tahun.

Pada Rabu lalu, Pfizer-BioNTech menyelesaikan pemfailan mereka dengan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) untuk mendapatkan kebenaran bagi vaksin untuk golongan terbabit.

Setakat ini, tiada suntikan vaksin COVID-19 diluluskan untuk kanak-kanak dalam kumpulan umur tersebut di kebanyakan bahagian dunia.

Moderna Mac lalu mengeluarkan data percubaan yang menunjukkan formulasi dua dos vaksinnya selamat dan menghasilkan tindak balas imun yang sama pada kanak-kanak seperti pada orang dewasa.

Penasihat bebas FDA akan membincangkan dua permohonan itu dalam satu mesyuarat yang ditetapkan pada 14 dan 15 Jun, dengan FDA dijangka membuat keputusan tidak lama selepas itu.

Jha berkata, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) juga perlu membuat cadangan jika FDA meluluskan vaksin itu.

Jha berkata jika FDA dan CDC meluluskannya, vaksinasi kanak-kanak di bawah lima tahun akan dimulakan seawal 21 Jun.