PRESIDEN Rusia Vladimir Putin menggesa pihak berkuasa kesihatan untuk mempergiatkan program imunisasi COVID-19 di negara itu dengan meningkatkan keyakinan terhadap keberkesanannya.

Jelasnya, langkah itu perlu segera dilakukan selepas negara itu merekodkan peningkatan drastik kes sejak beberapa minggu lepas.

Tegasnya, adalah penting bagi majoriti rakyat negara itu untuk memahami dengan lebih lanjut kepentingan vaksinasi buat diri sendiri dan ahli keluarga mereka.

Perkara ini, katanya, perlu diperjelaskan dan bukan diwajibkan ke atas semua rakyat.

"Tugas utama kita ketika ini adalah untuk mempergiatkan program vaksinasi dalam negara. Penting untuk kita pastikan rakyat divaksinasi. Hanya itu satu-satunya cara untuk menghentikan pandemik ini," katanya pada Rabu.

Memetik laporan antarabangsa, Rusia kini berdepan cabaran kadar vaksinasi yang rendah namun menunjukkan peningkatan kes harian yang tinggi.

Jumlah kes harian menunjukkan peningkatan berganda dengan lebih 9,000 kes direkodkan pada awal Jun kepada lebih 25,000 kes pada pertengahan Julai.

Setakat ini, 23 peratus populasi negara itu sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin atau seramai 33.6 juta daripada 146 juta populasi.

Sementara itu, 15 peratus sudah melengkapkan kedua-dua dos vaksin.