THAILAND telah menangguhkan pelancaran suntikan vaksin COVID-19 yang dibangunkan AstraZeneca susulan laporan tentang masalah pembekuan darah di Denmark, namun tiada bukti yang mengesahkan sebarang kaitan setakat ini.

Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-ocha sepatutnya dijadualkan menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin AstraZeneca dalam acara pelancaran hari ini.

Namun, acara tersebut dibatalkan, selepas beberapa negara Eropah turut menggantung penggunaan vaksin itu termasuk Denmark dan Norway.

Setakat ini, kira-kira 5 juta warga Eropah telah menerima suntikan vaksin AstraZeneca.

Daripada jumlah itu, dalam 30 individu melaporkan insiden pembekuan darah.

BACA: Vaksin COVID-19: Denmark pula gantung penggunaan AstraZeneca selepas Austria

Agensi Perubatan Eropah (EMA) bagaimanapun menegaskan, masih tiada petunjuk bahawa suntikan itu menyebabkan pembekuan darah, serta menambah bahawa kebaikan vaksin masih melebihi risikonya.

“Walaupun kualiti AstraZeneca didapati baik, beberapa negara telah menangguhkan penggunaan vaksin itu. Kami juga menangguhkannya,” kata Piyasakol Sakolsatayadorn, penasihat jawatankuasa COVID-19 Thailand dalam sidang media.

Namun, pihak berkuasa kesihatan Thailand menjelaskan bahawa bekalan vaksin AstraZeneca yang diedarkan di negara itu berbeza daripada bekalan di Eropah, sambil menambah bahawa masalah pembekuan darah jarang dikesan dalam kalangan warga Asia.

Bekalan pertama 117,300 dos vaksin AstraZeneca yang dihasilkan di sebuah kilang di Asia tiba di Thailand pada 24 Februari lalu.