SYARIKAT farmaseutikal Pfizer-BioNTech pada 18 Okt lalu memohon kelulusan pihak berkuasa kesihatan Health Canada untuk penggunaan vaksin COVID-19 terhadap kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun.

Ini merupakan permohonan pertama yang diterima Kementerian Kesihatan Kanada terhadap penggunaan vaksin COVID-19 bagi kumpulan tersebut.

Menurut Pfizer-BioNTech dan kerajaan Kanada dalam satu kenyataan bersama, permohonan tersebut turut merangkumi data hasil ujian klinikal yang dilakukan terhadap 2,268 kanak-kanak dalam kumpulan ini.

Dalam ujian tersebut, jumlah dos vaksin dikurangkan kepada 10 microgram setiap suntikan, iaitu tiga kali kurang berbanding jumlah suntikan biasa.

Pfizer-BioNTech menjelaskan, jumlah tersebut adalah sesuai buat kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun.

Sebelum ini, vaksin sama diluluskan penggunaannya di Kanada terhadap kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas.

Kementerian Kesihatan Kanada dalam pada itu berkata, pihaknya hanya akan memberi kelulusan sekiranya vaksin tersebut terbukti berkesan berdasarkan kajian saintifik dan data yang dikemukakan.

Awal bulan ini, Pfizer-BioNTech memohon kelulusan seumpamanya di Amerika Syarikat.