PITTSBURGH:Ratusan lagi hospital di Amerika Syarikat bersiap sedia untuk menerima vaksin yang dikeluarkan Moderna.

Ini selepas Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA) memberikan tinjauan positif terhadap vaksin COVID-19 kedua itu, sebahagian daripada kempen vaksinasi terbesar di Amerika.

Tinjauan awal FDA mengesahkan keberkesanan dan keselamatan vaksin yang dikembangkan oleh Moderna dan Institut Kesihatan Kebangsaan.

Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Vaksin di University of Pittsburgh, Paul Duprex beberapa pilihan vaksin disediakan di Amerika bagi memudahkan proses vaksinasi.

“Mesej utama sama seperti vaksin Pfizer, vaksin Moderna memiliki rasa serupa, fungsi yang sama dan dihantar untuk mendapat kebenaran penggunaan kecemasan.

“Kami mempunyai vaksin yang selamat, kami mempunyai vaksin yang imunogenik dan kami mempunyai vaksin yang bagus. 

"Saya rasa kita perlu ingat tidak semua vaksin sesuai untuk semua. Kita mahu mempunyai pilihan. Kita mempunyai pilihan RNA pada masa ini.

"Kita berharap bahawa pada awal tahun 2021 kita mempunyai platform vaksin yang lain," kata Duprex. 

Panel pakar luar dijangka membuat penilaian ke atas vaksin Moderna sebelum mendapat keputusan akhir FDA.

Berita itu muncul ketika hospital meningkatkan vaksinasi Pfizer dan Biontech, yang diluluskan FDA minggu lalu.

Vaksin Moderna menggunakan teknologi yang sama dengan Pfizer dan menunjukkan perlindungan yang kuat terhadap COVID-19.

Ketika ini vaksin Pfizer COVID-19 mula tiba di 400 hospital tambahan dan beberapa tempat pengedaran lain.

Tiga juta suntikan pertama telah diberikan kepada petugas kesihatan dan petugas di rumah orang tua.

Kerajaan Amerika telah membeli 100 juta dos vaksin Pfizer dan memesan 200 juta dos vaksin Moderna.

Sekiranya tiada kelewatan dalam proses pengedaran, bilangan itu cukup untuk memberi suntikan vaksin kepada 150 juta warga Amerika pada pertengahan 2021.

Dalam penelitian hasil kajian awal melalui 30,000 sukarelawan, FDA mendapati vaksin Moderna menunjukkan keberkesanan.

Ujian keberkesanan vaksin Moderna menunjukkan keputusan lebih 94 peratus, manakala 86 peratus keberkesanan dicapai apabila diuji pada mereka yang berumur 65 tahun ke atas.