NEW YORK: Satu lagi varian baharu COVID-19 dilapor berjaya dikesan, kali ini di New York, lapor CNN.

Varian yang dikenali sebagai varian B.1.526 itu membawa mutasi yang boleh mengelak tindak balas sistem imun semulajadi badan selain memberi kesan kepada rawatan antibodi monoclonal.

Dua kumpulan penyelidik yang menemui varian itu berkata ia telah merebak ke kawasan lain di timur laut Amerika Syarikat.

Dalam perkembangan sama, California Institute of Technology dilapor membangunkan alat perisian bagi mengesan kes varian B.1.526 di New York.

Kadar pengesanan varian meningkat dari akhir Disember hingga Februari 2021 iaitu sebanyak 12.7 peratus dalam tempoh dua minggu lalu.

Ia mencetuskan kebimbangan susulan kes positif COVID-19 di Amerika Syarikat yang terus meningkat iaitu melebihi 28 juta jangkitan setakat ini.