JOHANNESBURG: Para saintis Afrika Selatan mengesan varian baharu COVID-19 dalam skala kecil dan sedang mengkaji lebih lanjut potensi implikasinya.

Menurut pakar virologi, varian baharu yang ditemui itu kini menjadi kebimbangan utama di Afrika Selatan.

Jelas Tulio de Oliveira, varian tersebut menyebabkan berlakunya peningkatan penularan jangkitan.

Varian yang dikenali sebagai B.1.1.529 itu mempunyai kadar mutasi yang sangat luar biasa yang mampu mengelak tindak balas imun badan dan menjadikannya lebih mudah berjangkit.

Malah pakar menyatakan, kajian awal di makmal mendapati varian tersebut telah menular dengan pantas di wilayah Gauteng.

Ini turut melibatkan Johannesburg dan bandar Pretoria dan kemungkinan sudah menular sehingga lapan wilayah.

Setakat ini 22 kes dikenal pasti membabitkan varian tersebut.

Difahamkan, varian tersebut juga sudah dikenal pasti di Botswana dan Hong Kong melibatkan pengembara dari Afrika Selatan.

Menteri Kesihatan, Joe Phaahla memaklumkan varian tersebut sebagai kebimbangan utama ketika ini.

Untuk rekod, jumlah jangkitan COVID-19 di Afrika Selatan meningkat kepada lebih 1,200 kes harian berbanding hanya lebih 100 kes awal bulan ini.

Bagaimanapun, kerajaan masih belum membuat keputusan untuk melaksanakan sekatan.