“Usah hidup dalam bayangan penghakiman orang lain. Buat pilihanmu sendiri dengan disuluh kebijaksanaan.”

Demikian pesan legenda Bollywood Amitabh Bachchan dalam surat yang dikarang untuk dua orang cucu perempuannya, Aaradhya Bachchan dan Navya Naveli Nanda.

Video pelakon berusia 73 tahun itu membaca sendiri surat tersebut pada Isnin tersebar luas di media sosial berikutan mesej yang menyentuh hati terutama sekali mengenai hak dan peranan wanita.

Netizen terutamanya dari India menghargai surat tersebut memandangkan negara tersebut sering berhadapan dengan masalah keganasan ke atas wanita dan ketidaksamarataan jantina.

Amitabh berpesan agar sebagai wanita, kedua-dua cucunya perlu membuat pilihan sendiri dan tidak membiarkan sesiapa mengongkong cara hidup mereka.

Berikut merupakan terjemahan surat Amitabh Bachchan, daripada teks penuh yang disiarkan dalam The Times of India:

Kalian berdua menggalas warisan berharga pada bahu muda kalian - Aaradhya, warisan moyangmu, Dr Harivansh Rai Bachchan, dan Navya, warisan moyangmu, Shri HP Nanda.

Kedua-dua moyangmu memberi nama keluarga yang masyhur, bermaruah, dan dikenali.

Kamu berdua mungkin seorang Nanda atau Bachchan, namun kamu juga gadis. Wanita.

Dan kerana kamu wanita, manusia akan memaksa pemikiran kami, dan meletakkan sempadan mereka ke atas kamu.

Mereka akan memberitahu cara kamu harus berpakaian, cara bertindak, siapa yang kamu boleh temui dan tempat yang kamu boleh kunjungi.

Usah hidup dalam bayangan penghakiman orang lain. Buat pilihanmu sendiri dengan disuluh kebijaksanaan.

Usah biarkan sesiapa membuat kamu percaya bahawa panjang pendek kainmu menjadi ukuran keperibadian.

Usah biarkan pandangan sesiapa menentukan siapa yang bakal menjadi sahabatmu.

Usah berumahtangga selain kamu sendiri mahu mendirikannya.

Manusia akan terus berbicara. Mereka akan menutur kata-kata nista. Namun itu tidak bermakna kamu harus mendengar semuanya. Jangan pernah risau apa yang difikir manusia.

Akhirnya, kamu akan menanggung akibat perbuatan sendiri, maka jangan biarkan orang lain membuat keputusan bagi dirimu.

Navya, kelebihan nama keluargamu tidak akan melindungi kamu daripada kesukaran yang bakal dihadapi kerana dirimu wanita.

Aaradhya, kelak kau dapat melihat dan memahami semua ini, barangkali aku sudah tiada. Namun bagiku apa yang kukatakan kini kelak masih berguna.

Mungkin di dunia ini sukar, sukar sekali untuk menjadi wanita. Namun aku percaya wanita seperti kamu akan mengubah semua itu. Barangkali bukan mudah, menetapkan sempadanmu sendiri, membuat keputusan sendiri, dan bangkit mengatasi pandangan manusia.

Namun kamu, kamu yang akan menjadi teladan untuk wanita di mana sahaja.

Lakukan ini dan kamu mencapai sesuatu yang lebih daripada apa yang aku pernah lakukan, dan dengan penuh bangga aku dikenali bukan sebagai Amitabh Bachchan namun sebagai datukmu.