HANOI: Vietnam muncul sebagai pemacu integrasi ekonomi serantau yang semakin penting sejak tiga dekad lalu, menyaksikan perdagangan dua hala dengan ASEAN melonjak kepada kira-kira AS$91 bilion pada 2025 daripada hanya AS$3.26 bilion pada 1995, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Ketika Asia Tenggara merangsang hubungan ekonomi, transformasi digital dan pertumbuhan hijau, negara itu mengukuhkan kedudukannya sebagai hab perkilangan, logistik dan perdagangan digital utama, membantu mewujudkan ruang pertumbuhan baharu untuk rantau ini.
Le Quoc Phuong, bekas Timbalan Pengarah Pusat Maklumat Industri dan Perdagangan di bawah Kementerian Perindustrian dan Perdagangan, berkata penyertaan Vietnam ke dalam ASEAN pada 1995 dan penyertaan dalam perjanjian perdagangan bebas (FTA) serantau, termasuk Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA), Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), telah memberikan dorongan pertumbuhan yang kukuh.
ASEAN kini merupakan antara rakan dagangan terbesar Vietnam, di belakang Amerika Syarikat, China dan Republik Korea.
Pengurangan tarif dalam blok itu telah memudahkan eksport Vietnam sambil menggalakkan integrasi negara yang lebih mantap ke dalam rangkaian pengeluaran serantau.
Blok itu juga menjadi sumber pelaburan yang penting. Statistik daripada Kastam Vietnam menunjukkan bahawa lapan negara anggota ASEAN telah melabur dalam kesemua 18 sektor ekonomi di Vietnam, dengan industri pembuatan dan pemprosesan menarik lebih 1,000 projek bernilai kira-kira AS$22.2 bilion.
Vietnam kini menjadi penghubung yang semakin penting dalam rantaian bekalan ASEAN, mengimport komponen dan bahan dari Thailand, Malaysia dan Singapura untuk pengeluaran, pemasangan dan eksport.
Kerjasama juga berkembang ke dalam ekonomi digital, peralihan hijau, tenaga boleh diperbaharui dan logistik.
Satu bidang yang berpotensi ialah Grid Kuasa ASEAN (APG). Dengan lokasi yang strategik dan potensi angin luar pesisir, Vietnam muncul sebagai hab utama dalam strategi keselamatan tenaga blok itu.
Menurut Pusat Tenaga ASEAN, ketersambungan penuh APG boleh menyumbang sehingga AS$3 trilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) serantau menjelang 2040 dan mewujudkan sekitar 1.45 juta pekerjaan.
Le Phuong Hoa, Timbalan Pengarah Institut Kajian Asia-Pasifik di bawah Akademi Sains Sosial Vietnam, menegaskan bahawa mengekalkan pemusatan ASEAN adalah penting untuk memelihara ruang pembangunan rantau ini dan mengukuhkan kerjasama berdasarkan undang-undang antarabangsa.
Di luar perdagangan tradisional, ekonomi digital menjadi enjin pertumbuhan baharu bagi ASEAN, dengan Vietnam antara pasaran paling dinamik di rantau ini.
Menurut laporan e-Conomy SEA 2025, ekonomi digital ASEAN boleh mencapai AS$305 bilion dalam nilai barangan kasar (GMV) tahun ini, meningkat 17 peratus tahun ke tahun.
E-dagang kekal sebagai pemacu pertumbuhan utama, dengan Vietnam antara pasaran paling pesat berkembang di rantau ini.
Vietnam juga menggalakkan kerjasama dalam sektor digital menerusi usaha untuk memuktamadkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), yang dijangka memudahkan aliran data rentas sempadan, perdagangan digital dan penyertaan lebih besar perusahaan kecil dan sederhana dalam ekosistem digital serantau.
Sementara itu, peralihan hijau membuka jalan baharu untuk kerjasama. Kadar penggunaan kenderaan elektrik Vietnam telah mencapai kira-kira 33 peratus daripada jumlah jualan kenderaan, jauh melebihi purata ASEAN.
Walaupun pertumbuhan kukuh, pakar percaya masih terdapat ruang yang besar untuk kerjasama yang lebih mendalam, kerana perdagangan intra-ASEAN menyumbang hanya kira-kira 20 hingga 22 peratus daripada jumlah perdagangan blok itu.
Untuk memanfaatkan FTA serantau dengan lebih baik, perusahaan Vietnam perlu meningkatkan daya saing, mengukuhkan jenama, meningkatkan kandungan teknologi dalam eksport, serta memenuhi piawaian yang lebih tinggi dalam peralihan hijau, pendigitalan dan pembangunan mampan.
Pada Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN ke-27, Timbalan Menteri Perindustrian dan Perdagangan Phan Thi Thang mengesahkan kesediaan Vietnam untuk bekerjasama rapat dengan anggota ASEAN yang lain bagi meningkatkan daya tahan ekonomi serantau.
-- BERNAMA-VNA