Skip to main content

Dunia

Ebola: 75 petugas kesihatan antara individu awal dijangkiti di DR Congo

Congolese medical workers wearing personal protective equipment (PPE) prepare to bury the coffin of a patient who died of Ebola, as authorities intensify efforts to contain a new Ebola outbreak involving the Bundibugyo strain outbreak in Rwampara outside Bunia, Ituri province, Democratic Republic of Congo, May 21, 2026. REUTERS/Stringer
Kira-kira 75 petugas kesihatan telah dijangkiti virus berkenaan sejak wabak itu diisytiharkan pada 15 Mei lepas, dengan 17 daripada mereka dilaporkan meninggal dunia. - Reuters
Advertisement

KIGALI: Golongan petugas barisan hadapan kesihatan merupakan antara individu terawal dikesan positif apabila wabak Ebola terbaharu mula menular di Republik Demokratik Congo (DRC), lapor Anadolu Ajanasi yang memetik kenyataan rasmi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pengarah Kecemasan WHO, Marie Roseline Belizaire dalam satu taklimat berita secara maya dari timur Congo pada Jumaat memaklumkan bahawa kira-kira 75 petugas kesihatan telah dijangkiti virus berkenaan sejak wabak itu diisytiharkan pada 15 Mei lepas, dengan 17 daripada mereka dilaporkan meninggal dunia.

"Ini adalah satu kehilangan dan harga yang amat tinggi terpaksa ditanggung oleh sistem penjagaan kesihatan kerana kita tidak mempunyai bilangan petugas kesihatan yang mencukupi di DRC," kata Belizaire.

Menurut beliau, kira-kira 90 peratus pesakit Ebola pada peringkat awal tidak menunjukkan gejala pendarahan, menyebabkan ramai dalam kalangan mereka memilih untuk tinggal di rumah dan mengambil ubat sendiri, manakala sebahagian lagi mendapatkan rawatan daripada pengamal perubatan tradisional.

Setakat ini, pihak berkuasa kesihatan Congo telah melaporkan hampir 900 kes Ebola disahkan, termasuk 232 kematian membabitkan 33 zon kesihatan di tiga wilayah sejak wabak itu mula dikesan.

Selepas lebih sebulan wabak berkenaan melanda, pihak berkuasa mengakui bahawa penentangan daripada komuniti setempat kekal menjadi cabaran utama dalam usaha menyekat penularan virus itu.

Belizaire berkata memandangkan laporan jangkitan kes terus meningkat di pelbagai kawasan, terdapat keperluan mendesak untuk mempercepatkan langkah-langkah tindak balas.

Virus berkenaan kini dilapor menular merentasi wilayah timur Ituri, Kivu Utara dan Kivu Selatan, dengan Ituri mencatatkan hampir 95 peratus daripada keseluruhan jumlah kes.

Pada Jumaat, Menteri Kesihatan Roger Kamba telah mengadakan lawatan ke Hospital Bunia di ibu kota wilayah Ituri, dan beliau turut memuji komitmen para doktor serta kakitangan kejururawatan yang bertungkus-lumus setiap hari dalam memerangi wabak itu.

"Keutamaan kami adalah untuk mengesan kes dengan cepat, merawat pesakit secara percuma dan meningkatkan kesedaran agar penduduk bekerjasama dengan pasukan tindak balas. Penyakit ini benar-benar wujud, tetapi ia mampu ditewaskan jika semua pihak memainkan peranan masing-masing," katanya kepada pemberita.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement