Skip to main content

Dunia

Virgo Transport 8: Pakar dari Hong Kong, AS bantu usaha tegakkan kapal

Indonesia searches for 129 missing after ship capsizes
Mohammad Syafii berkata pakar dari Hong Kong dan AS itu sudah pun berada di lokasi, dengan tambahan anggota dijangka tiba sekitar 10 pagi Khamis. REUTERS
Advertisement

JAKARTA: Pakar dari Hong Kong dan Amerika Syarikat (AS) akan membantu pihak berkuasa Indonesia menilai operasi penyelamatan alternatif dengan menegakkan semula kapal KM Virgo Transport 8 yang terbalik.

Usaha itu bagi membantu pencarian mangsa yang masih hilang di dalam kapal itu di Laut Jawa memandangkan arus deras menyukarkan usaha pencarian di bawah air. 

Ketua Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Mohammad Syafii berkata pilihan itu sedang disediakan sekiranya pencarian di bawah air tidak dapat dijalankan dengan selamat, bagi membolehkan pasukan penyelamat mencari di dalam kapal dan mengeluarkan mangsa.

Beliau berkata pakar dari Hong Kong dan AS itu sudah pun berada di lokasi, dengan tambahan anggota dijangka tiba sekitar 10 pagi Khamis.

Pasukan itu katanya akan melakukan tinjauan udara dan menilai keadaan kapal.

"Kami merancang untuk menegakkan semula kapal, menjalankan pencarian di dalam kapal dan mengeluarkan mangsa.

“Hanya selepas kami pasti bahawa proses mencari dan menyelamat (SAR) telah selesai, barulah kapal itu akan ditunda untuk tujuan siasatan," katanya dalam sidang media di Banjarmasin, pada penghujung hari keempat operasi SAR lewat Rabu.

KM Virgo Transport 8, yang membawa 243 orang dari Surabaya di Jawa Timur ke Banjarmasin, berdepan cuaca buruk sebelum terputus hubungan pada awal pagi 13 Sept.

Kapal itu kemudiannya ditemukan dalam keadaan terbalik di perairan luar Masalembo di Laut Jawa.

Jumlah individu yang telah dikesan kekal pada angka 114 orang, merangkumi 108 mangsa yang terselamat dan enam kematian manakala 129 orang masih hilang ketika operasi pencarian memasuki hari kelima pada Khamis.

Mengenai cabaran yang dihadapi operasi itu, Mohammad Syafii berkata arus di lokasi kejadian kini telah melebihi enam knot dan menghampiri tujuh knot iaitu melebihi had keselamatan 1.5 knot untuk aktiviti menyelam.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement