DUNIA
Visa H-1B US$100,000 cadangan Trump boleh ganggu perkhidmatan IT India

Nasscom pada Sabtu berkata perintah baharu Trump juga akan menjejaskan warga India yang memegang visa H-1B dan bekerja untuk syarikat global serta syarikat India. - Foto Facebook nasscom
ANKARA: Yuran baharu visa pekerja H-1B sebanyak US$100,000 setahun yang diumumkan Amerika Syarikat dijangka memberi kesan kepada syarikat perkhidmatan teknologi India, menurut sebuah badan perdagangan utama negara Asia Selatan itu pada Sabtu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Jumaat menandatangani pengisytiharan yang menetapkan syarikat perlu membayar US$100,000 setahun bagi setiap visa pekerja H-1B.
"Kita perlukan pekerja. Kita perlukan pekerja yang hebat. Dan langkah ini hampir pasti memastikan perkara itu berlaku," kata Trump di Pejabat Oval semasa menandatangani pengisytiharan itu.
Badan industri IT India, Nasscom pada Sabtu berkata perintah baharu itu juga akan menjejaskan warga India yang memegang visa H-1B dan bekerja untuk syarikat global serta syarikat India.Syarikat perkhidmatan teknologi India turut terkesan apabila kelangsungan perniagaan bagi projek dalam pesisir terganggu dan mungkin memerlukan pelarasan.
"Syarikat akan bekerjasama rapat dengan pelanggan untuk menyesuaikan diri dan menguruskan peralihan," katanya sambil menyuarakan kebimbangan mengenai "garis masa pelaksanaan" pengisytiharan baharu itu.
Sementara itu, Kementerian Hal Ehwal Luar India berkata langkah baharu itu "berkemungkinan membawa akibat kemanusiaan melalui gangguan terhadap keluarga."
"Kerajaan berharap gangguan ini dapat ditangani sewajarnya oleh pihak berkuasa AS.
"Industri di India dan AS mempunyai kepentingan bersama dalam inovasi dan kreativiti dan dijangka akan berunding mengenai hala tuju terbaik ke hadapan," menurut kementerian itu.
Pentadbiran AS pula menyatakan rombakan itu bertujuan membendung apa yang digambarkan sebagai penyalahgunaan meluas sistem visa, khususnya syarikat yang menggunakannya untuk menggantikan pekerja teknologi AS dengan tenaga kerja asing kos rendah.
"Penggantian besar-besaran pekerja Amerika melalui penyalahgunaan sistematik program ini telah melemahkan keselamatan ekonomi dan negara kita," menurut pengisytiharan yang dikeluarkan Rumah Putih.
Sejak 2010, majoriti kelulusan visa H-1B setiap tahun diberikan kepada pekerja kelahiran India, menurut Pusat Penyelidikan Pew.
AS dan India juga sedang berunding mengenai perjanjian perdagangan.
Kedua-dua pihak telah mengadakan rundingan perdagangan awal minggu ini di New Delhi ketika pentadbiran Donald Trump mengenakan tarif 50 peratus ke atas barangan dari India.
Menteri Perdagangan dan Industri India, Piyush Goyal pula akan berkunjung ke AS bermula Isnin untuk mengadakan rundingan dengan pegawai AS, menurut kenyataan Kementerian Perdagangan India.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami