Skip to main content

Malaysia

Lebih 10,000 jemaah solat Aidiladha bersama PM Anwar di Masjid Putra

Anwar Aidiladha
Anwar menunaikan solat sunat Aidiladha bersama lebih 10,000 jemaah di Masjid Putra, Putrajaya, pagi ini. --fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Lebih 10,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid Putra di sini pagi ini.

Anwar yang lengkap berbaju melayu biru muda tiba pada jam 8.05 pagi, ditemani isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Solat sunat itu dipimpin Imam Besar Masjid Putra, Dr Muhammad Zakuwa Rodzali, dan turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

Sejak jam 6.45 pagi, perkarangan masjid dipenuhi orang ramai termasuk pelancong asing yang ingin menyaksikan suasana solat sunat Aidiladha.

Khutbah Aidiladha bertajuk “Pengorbanan Menuntut Keikhlasan” menekankan bahawa ibadah korban bukan sekadar penyembelihan haiwan, tetapi lambang ketaatan penuh kepada Allah seperti ditunjukkan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.

Khutbah turut menyeru umat Islam memperkukuh ketakwaan, mengutamakan perintah Allah, menggalakkan kebajikan melalui agihan daging korban serta menekankan pengorbanan dalam kehidupan seharian seperti menjaga keluarga, mencari rezeki halal, menuntut ilmu dan mempertahankan perpaduan.

Sebelum beredar, Perdana Menteri meluangkan masa beramah mesra dan bersalaman dengan jemaah.

Must Watch Video

Advertisement